Thursday, February 21, 2008

Wakil Rakyat (UMNO)

Sekarang orang sibuk cakap pasal calon pilihanraya, jadi saya nak discuss macam mana wakil rakyat UMNO dipilih oleh rakyat. Jawapannya, mereka dipilih oleh pengundi melalui proses pilihanraya. Tapi macam mana calon UMNO itu dilantik bagi mewakili Barisan Nasional. Amalan sekarang Presiden partilah yang melantik mereka setelah menerima perakuan Pengerusi UMNO Negeri.

Pertama, macam mana Presiden parti nak lantik calon yang layak ? Apakah benchmark yang digunakannya. Sudah tentu jawapannya, prestasi yang baik, bekerja untuk rakyat, dedikasi, tidak rasuah, berilmu, rekod perkhidmatan yang cemerlang, sentiasa menyokong dasar dan kepimpinannya, diterima baik diperingkat pimpinan parti akar-umbi dan pengundi dan banyak lagi. Betul ke ? Kalau betul apa sumber maklumat beliau. Cukup ke dari mulut Pengerusi UMNO Negeri. Tidak, sudah tentu ada sumber-sumber lain.

Kedua, apa pula kriteria Pengerusi UMNO Negeri untuk dia melantik atau memperakukan seseorang itu sebagai calon wakil rakyat UMNO ? Jawapan yang akan diberi sudah tentu konsisten dengan tanda-aras Presiden ditambah dengan seseorang itu mesti menyokong kepimpinannya untuk mempertahankan kepimpinannya di negeri.

Tan Sri Muhammad bin Taib, Ketua Penerangan UMNO yang bekerja tak kira masa. Walaupun tanpa sebarang jawatan kerajaan namun semua orang UMNO tahu taatnya beliau kepada parti. Betapa dia dipandang sebagai pemimpin berjiwa besar apabila memberi teladan yang baik kepada ahli UMNO. Walaupun tidak dicalon dalam pilihanraya 2004, dia tidak langsung menunjukkan rasa keciwa tetapi sebaliknya terus memberi inspirasi kepada ahli UMNO supaya fikirkan apa yang boleh disumbangkan kepada parti daripada memikirkan sebaliknya. Dalam pilihanraya 2008 ini, dia tidak dicalonkan juga walaupun telah dijanjikan. Memang dia tidak keciwa, tetapi ramai orang yang mencintai UMNO sebagai parti yang memertabatkan bangsa Melayu seperti saya sangat keciwa. Sebab saya yakin Tan Sri Muhammmad Muhd Taib mampu mengangkat mertabat orang Melayu jika dia diberi peluang, berbanding dengan sebahagian mereka yang dilantik oleh Presiden dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Dato Zainal Abidin Hj Sakom bekas wakil rakyat N07 Batang Kali juga tidak dicalonkan semula dalam pilihanraya ke 12. Semua pengundi dan pimpinan UMNO tahu bagaimana dia bekerja berkhidmat untuk parti dan rakyat. Tanya orang Cina dan India di kawasannya, mereka akan membenarkan kenyataan saya ini. Apatah lagi menjelajah ke seluruh negara membawa gagasan Presiden tentang Islam Hadhari. Saya selalu bersama beliau ke merata pelusuk kawasan. Siapa sahaja yang menjemput beliau walau di mana dia akan tetap sampai. Tanya siapa sahaja yang mengikuti ceramah beliau akan berpuas hati dengan penjelasannya. Sampai sekarang saya masih tak faham apa kekurangan dan kesalahan dia yang menyebabkan dia tidak dicalonkan semula. Kalau ditanya siapa sahaja pengundi di kawasannya atau pemerhati mereka pasti memilih Dato Zainal Abidin Hj Sakom sebagai calon BN di N07 Batang Kali. Tapi apa boleh buat sebab calon dilantik oleh Presiden dan Pengerusi UMNO Negeri bukan dipilih rakyat.

Kita kena memilih calon yang tepat. Tapi macam mana nak pilih bila kita tidak diberi pilihan. Atau Presiden dan Pengerusi UMNO Negeri melantik calon UMNO bukan berdasarkan kriteria yang dinyatakan. Rakyat selalu disumbatkan kenyataan retorik supaya berfikir rasional, akur dengan kepimpinan dan sentiasa keletakkan kepentingan parti melebihi dari segalanya. Tapi pemimpin dia cakap ikut sedap mulut je. Bila dia buat keputusan rasional ke ? Ada kah mereka ni dengar rintihan rakyat ? Atau keputusan mereka adalah kepentingan parti atau pentingkan diri je.

Sebenarnya, wakil rakyat UMNO dilantik oleh Presiden dan Pengerusi UMNO je, bukan dipilih oleh rakyat.

Tuesday, January 15, 2008

Faizal Tahir

Saya sangat meluat dan nak muntah bila tengok artis (baru) Faizal Tahir yang membuka bajunya bila membuat persembahan menerusi 8TV pada Ahad yang lalu. Sebab tak ada mesej lain, apabila seseorang membuka baju selain mesej seksi dan keghairahan. Menyampaikan mesej seksi bukan budaya kita orang Melayu(Islam). Ramai artis yang berjaya tanpa menggunakan kaedah atau pendekatan jahiliyyah itu untuk menarik perhatian peminat. Saya bangga dengan setengah artis yang mempunyai jati-diri kuat dan berpegang dan bertunjangkan akar Melayu(Islam). Bukan yang macam dia. Lepas ini sehingga dia insaf dan bertaubat saya panggil dia ARTIS TAK MALU.
Saya tidak menafikan peranan hiburan dalam kehidupan (asalkan tidak melalaikan, mungkin terlalu idealistik) tetapi hiburan yang tidak lansung membawa mesej untuk memperkasakan budaya atau hiburan yang lansung tidak membawa sebagai mesej positif, samalah dengan hiburan zaman jahilliyah. Bagi saya hiburan tetap menjadi instrumen penting dalam kita mengisi kehidupan. Ini bermakna mereka yang terlibat dengan dunia hiburan iaitu artis sangat besar sumbangannya.
Sekarang orang Melayu sibuk cakap bagaimana kita dapat membangunkan modal insan. Bagaimana pentingnya pengisian budaya ke arah kecemerlangan dan kegemilangan bagi memboleh bangsa Melayu menjadi terbilang. Ini tidak terkecuali dalam dunia hiburan. Hiburan dan artis perlu memainkan peranan ke arah itu.
Apa yang ARTIS TAK MALU cuba nak sampaikan melalui tindakannya membuka baju tu. Adakah dia terlalu menjiwai lagu tersebut sehingga tergamak bertindak macam artis barat. Atau jiwanya yang sangat kosong dan lohong langsung tak tahu malu dan segan dalam prespektif orang Melayu(Islam). Atau memang ARTIS TAK MALU. Kenapa tak buka seluar tu.
Saya sebenarnya menyuarakan rasa marah saya kepada ARTIS TAK MALU Faizal Tahir ni. Jadi ada lebih saya gunakan bahasa yang mudah difahami sahaja. Bagi saya ARTIS TAK MALU ini mempunyai kesedaran emosi dan spiritual yang sangat rendah dalam kerangka dan prespektif Islam. Dia tak tahu akibatnya bila dia bertindak macam tu terhadap generasi Melayu yang meminatinya. Dia macam tak peduli apa orang kata. Mulai sekarang saya akan berkempen kepada anak-anak saya dan anak-anak saudara saya supaya boikot ARTIS TAK MALU ni.
Saya nak beritahu ARTIS TAK MALU ini. Dia bukan saja jual lagu atau menghibur sahaja. Tetapi jauh dari itu. ARTIS TAK MALU ini dan juga artis lain perlu ada rasa jati-diri terhadap bangsanya. Selain dapat duit menghibur lepas tu apa ? OK lah glamour lepas tu apa? Menyumbang ke arah membina suatu jenarasi Melayu yang berjaya dan menjadi icon yang baik.
Saya cuma nak cadang kepada semua TV swasta. Haramkan penampilan ARTIS TAK MALU ini, sehingga minta maaf dengan orang Melayu(ISLAM). Sebab SAYA SANGAT MALU tengok artis macam ini.

Friday, December 7, 2007

Wali Songo

HR. Muslim, dari Abu Hurairah - Apabila manusia mati maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariyah, ilmu bermanfaat, atau anak solleh yang mendo’akannya.” ...
Semalam saya di Surabaya (2-6 Dis 2007) dan berkesempatan menziarahi 3 dari 9 Makam Wali Songo iaitu Sunan Ampel, Sunan Maliki Ibrahim dan Sunan Giri. Merekalah yang berjihad mengislamkan orang Jawa dari fahaman Hindu. Besar sungguh sumbangan mereka kepada kita. Mereka mati meninggalkan penganut Islam di Nusantara.
Saya selalu membayangkan betapa rindunya kita kepada Muhammad Rasulllah yang memberi kita nikmat yang tidak terkata dengan ungkapan. Apabila kita menjadi Islam dengan seruannya. Saya melihat tanpa niat membanding tetapi begitulah analoginya. Bila wali songo ini berjuang berdakwah di kalangan orang Indonesia yang menjadi asal usul kita bebas dari fahaman Hindu, bayangkan betapa besar sumbangan mereka. Kalau tidak, Islam ke kita ?
Sepanjang saya menziarah makam mereka tak putus-putus orang mendoakan dan bersedekah agar mereka diletakkan dalam golongan orang-orang soleh dan masuk syurga. Kalau kita mati nanti tak jadi macam wali Songo ini pun tak apa. Tetapi mudah-mudahan anak cucu mendoakan kita . . . saya sangat bersyukur.
Ya Allah. . . jadikan segala perbuatan ku dunia ini amalan pahala jariah, ilimu yang ada sentiasa memberi rahmat ke sekelian alam dan zuriat yang tidak lupa mendoakan aku selalu

Tuesday, November 13, 2007

Nazri Hassan

Saya ada seorang kawan yang arkab semasa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia (Tingkatan 1-3) dan Tingkatan 6 (Sekolah Aminuddin Baki). Lepas STP kami masuk universiti yang sama, Universiti Sains Malaysia. Bezanya saya mengikuti program Sains Matematik dan dia diterima masuk ke jurusan Housing Building & Planning. Kali terakhir saya jumpa dia dalam tahun 1987 semasa saya berjumpa adik saya di Penang.

Sejak tu saya tak pernah jumpa dia. Ramai kawan-kawan agak dia dah meninggal. Kenapa tak tahu. Mungkin tiada pun dikalangan kawan-kawan yang pernah jumpa dia. Baru-baru ni semasa kami adakan reunion dari kalangan pelajar Tingkatan 3 SMK Gombak Setia (1975) masing-masing tertanya-tanya pasal dia.

Nama dia Nazri bin Mohd Hassan. Orang bersaiz kecil berasal dari Kedah. Saya selalu teringatkan dia. Pada hari Ahad (11/11/2007) masa saya jumpa anak saya di Kolej di Bangsar, saya melalui jalan Tun Perak. Saya pun cerita kepada isteri saya sambil tunjuk Masjid Jamek Kuala Lumpur. ‘Salah seorang imam masjid ni, bapa kawan ayah masa sekolah dulu. Tapi dah lama tak jumpa kawan ayah tu. Mungkin dah meninggal dunia. Walau macam manapun ayah akan cari bapa dia di masid ini. Sebagai tanda hormat’.

Semalam Selasa 13/11/2007, jam 12.45 tengahari ada seseorang menelefon saya. Nazri bin Mohd Hassan namanya. Saya memang terkejut dan sangat teruja. Hidup lagi dia ni. Saya tanya bapa apa khabar. Dia kata dah meninggal dunia.

Friday, November 9, 2007

Perhimpunan UMNO 2007

Perhimpinan Agong UMNO 2007 selesai semalam. Saya seperti tahun-tahun sebelum ini berkesempatan hadir sebagai pemerhati persidangan bersama ribuan ahli dan bukan ahli. Saya hadir 2 kali iaitu perbahasan usul Pendidikan/Agama dan pergulungan perbahasan.

Macam biasa, semua jurucakap yang mengambil bahagian membahas usul tak ada lain nak tunjuk ‘terror’ atau nak jadi champion terhadap beberapa isu. Memanglah perhimpunan Agong UMNO bukan hanya pentas untuk merungkai isu dan mengutus cadangan, tapi ada platfom lain yang mungkin lebih sesuai. Tetapi dalam perhimpunan Agong UMNO yang penting mengambil kesempatan mencuri hari ahli UMNO dan pemimpin tertinggi terutamanya bagaimana sensitifnya tentang isu dan nasib bangsa. Apatah lagi menjelang pilihanraya.

Untuk tunjuk terror dan nak jadi champion mereka pun menyebut isitilah-istilah semasa. Islam hadhari, capacity building, empowerment, modal insan, blue ocean strategy, fikir luar kotak, melayu baru, pertumbuhan ekonomi dan angkasawan Melayu (istilah baru) dan banyak istilah lagi. Semua yang sedap didengar sebagai istilah menunjukkan kemajuan orang Melayu

Nasib Melayu sering dibincang dan dibahas dalam perhimpunan UMNO. Di pentas tertinggi dalam UMNO ini, ahli dari semua peringkat sentiasa menunjukkan sokongan dan komitmen tentang untung nasib orang Melayu. Pemimpin UMNO yang diberi mandat untuk membela nasib orang Melayu juga menunjukkan iltizam yang setara.

Tapi bukankah yang lebih penting di peringkat akar umbi ? Tidakkah kita terfikir bahawa pemimpin UMNO di peringkat cawangan juga perlu menunjukkan semangat yang sama. Tapi berjayakah UMNO membina peradaban dan semangat muzakarah membela untung nasib Melayu di peringkat grass-root ini.

Adakah UMNO Bahagian membincangkan bagaimana nak melonjak pencapaian akademik pelajar Melayu di kawasan masing-masing. Atau adakah mereka sering mencari jalan membantu peniaga Melayu.? Atau ada ke berbincang bagaimana nak membina personaliti unggul dikalangan remaja Melayu setempat.

UMNO terlalu banyak berjasa dan menolong orang Melayu. Tanpa UMNO saya rasa orang Melayu tidak akan dapat mencapai apa yang ada sekarang. Tapi ada ke kita terfikir UMNO juga menyebabkan orang Melayu hanya ingin dalam zon selesa, budaya tak apa, mentaliti subsidi, tidak menerima meritokrasi, kronisme, nepotisme, politik wang dan banyak lagi.

Kadang-kadang saya terfikir. Kalau UMNO tidak menjadi ‘vechile’ orang Melayu selepas merdeka atau UMNO dipimpin oleh pemimpin lain dan bukan pemimpin UMNO yang tercatat dalam sejarah, mungkin pencapaian Melayu Malaysia sama macam di Singapura ? Atau mungkin orang Melayu akan lebih berjaya dari sekarang.

Walau bagaimanapun saya tetap bersyukur dan memastikan anak-anak saya berterima kasih dengan apa yang ada sekarang. Mudah-mudahan orang Melayu terus bangkit sebagai bangsa yang berjaya. . . Amin



.

Saturday, November 3, 2007

Beriadah Adalah Wajib

Pagi tadi, macam biasa. Saya ke Taman Tasek Shah Alam. Apa lagi kalau tidak berjoging untuk tempuh 1-1.5 jam. Ini merupakan rutin saya sejak menetap di Shah Alam. Sepanjang saya beriadah di Tasik Shah Alam ini dah ramai kenalan saya. Tak kira tua muda. Lelaki dan perempuan.

Dalam ramai-ramai tu, ada seorang retired accountant, Hj Yusoff, 65 tahun dari PETRONAS. Infact dia merupakan antara pionner dalam team PERTRONAS. Menurutnya tempat mula dia bekerja semasa setting-up organisation syarikat petroleum negara mereka ditempatkan di dalam kontena di EPU, JPM. Walaupun sudah bersara dia sering menyatakan kepuasannya berkarier apabila berjaya meninggalkan PETRONAS dengan kekayaan sekarang.

Kecuali pagi tadi sudah hampir 1 tahun saya tak nampak dia berjoging. Jadi pagi tadi saya tanya dia kenapa ? Dia expalained tahun lepas lepas balik joging, dia rasa sakit-sakit badan. Ditambah rasa malas menyebabkan hampir setahun dia tak turun tasik. Tetapi setelah mendapati paras gula dalam darah mengatasi paras bahaya. Dia tak ada pilihan terpaksa joging semula. Dengan bantuan ubat dengan berjoging paras gula dalam darahnya kembali stabil.

Saya terfikir. Kenapa kita beriadah ? Nak kurus ke ? Atau tidak mahu didatangi gejala penyakit sepeti hypertension, obesiti, diabetis atau penyakit lain. Bagi saya beriadah atau joging memang sebahagian rutin kehidupan seperti makan, mandi, kencing dan berak. Boleh ke kita hidup dengan pilihan tanpa kentut ?. Sebenarnya kita mesti beriadah. Sebab bersenam adalah proses yang perlu dilaksanakan untuk memastikan organ badan sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.

Kalau kita tidak beriadah, kita tidak adil dengan organ yang dikurniakan Tuhan kepada kita. Organ badan sangat penting untuk terus merasakan nikmat Allah di atas dunia ini. Bila badan sihat barulah kita boleh beriman dan bertaqwa dengan Allah. Kalau badan tak sihat nak ikut perintah Allah macam mana. Makan pun orang akan suapkan orang. Di akhirat pula, kita akan dipersalahkan kerana gagal menjaga organ badan atau amanat Allah yang diberikan kepada kita. Apatah lagi berlaku zalim dengan membiarkan jantung sakit disebabkan tekanan darah yang sangat tinggi. Menyiksa buah pinggang bekerja kuat membersihkan darah. Menyusahkan jantung mengepam badan ke seluruh sistem badan apabila terlalu gemuk.

Jadi beriadah adalah wajib sebaga muslim.

Friday, November 2, 2007

Wakil Rakyat (Kawan Saya)

Pagi tadi kawan lama, Jaafar dari UMNO Selayang jumpa saya di pejabat. Masa saya aktif dalam UMNO Bahagian Selayang sekitar tahun 1986-1991 saya mengenali dia. Lepas tu di luar UMNO saya lebih mengenali hati budi dia. Dia sebenar seorang yang menghargai erti persahabatan. Dia terus ziarah kawan walaupun saya tak akan dapat menyenangkan dia. Dia cerita kisah kawan-kawan kami dalam UMNO yang dah berjaya jadi wakil rakyat sekarang.
Tidak kiralah yang baru satu(1) penggal atau dah masuk empat (4) penggal sebagai wakil rakyat. Mula-mula dia bercerita pasal YB (wakil rakyat kawan saya) yang langsung tak tolong kawan-kawan yang menaikkannya sehingga berjaya jadi wakil rakyat. Lepas tu pasal YB (wakil rakyat kawan saya)yang ada jugak tolong dia atau kawan-kawan lain. Ada juga YB (wakil rakyat kawan saya) yang sombong dan tak sedar diri. Bila dah jadi wakil rakyat berlagak. Tapi ironinya masih ada kawan saya yang masih tak jemu-jemu berusaha nak jadi wakil rakyat.

Mungkin ini kes terpencil dalam matlamat dan tujuan seseorang menjadi ahli UMNO. Ada pemimpin UMNO sentiasa mencuba nasib dan terus berjuang kekal dalam lapisan golongan elit atau bangsawan Melayu iaitu pimpinan UMNO. Supaya slogan hak istimewa orang Melayu akan dapat dipastikan kekal dengan penyertaan aktif mereka, kroni mereka dan kaum kerabat mereka dalam merebut peluang dan ruang. Tak kira lah berniaga ke. Tanah ke. Permit ke. Orang macam ni lah yang akan memastikan qouta hak istimewa Orang Melayu di penuhi seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Inilah yang diperjuangkan. Itulah sebabnya mereka tak jemu-jemu mencuba nasib dan tidak puas-puas merasakan nikmat jadi wakil rakyat.

Tapi apa yang saya nak cerita ialah apa yang dalam benak kepala mereka menurut kawan saya selepas berhenti menjadi wakil rakyat. Kosong. Mereka tak cakap agenda memperjuangkan hak orang Melayu yang masih belum selesai (memang tak ada dibuatnya pun setakat yang saya tahu). Tapi rata-rata mereka bercakap kalau mereka tak terpilih jadi wakil rakyat dalam pilihanraya kali ini mereka tak kisah sebab mereka dah ada pencen. Harta pun ada sikit katanya cukup sampai mati. Walau bagaimanapun mereka akan tetap berusaha. Tak lepas dengan Menteri Besar, guna kabel Perdana Menteri. Kalau tak boleh Timbalan Perdana Menteri. Tak boleh juga jumpa bomoh. Tak senonoh kawan-kawan saya jadi wakil rakyat kawan saya ni.

Tapi sebenarnya ramai wakil rakyat UMNO yang ada wawasan. Cuma bukan dari kalangan kawan-kawan saya je.