Monday, November 2, 2009

Dr Mohd Asri Zainal Abidin

Dr Mohd Asri Zainal Abidin, bekas mufti Kerajaan Negeri Perlis ditahan, dibebas dengan jaminan bon polis dan akan didakwa atas kesalahan memberi ceramah di Selangor tanpa tauliah atau kebenaran Jabatan Agama Islam.
Kata Zulkefli Nordin dalam blognya, mana logiknya seorang bekas mufti yang credible mengeluarkan fatwa tidak diberi tauliah. Tapi kata Dato Khusrin, macam mana nak bagi tauliah kalau tak pernah memohon pun walaupun diingatkan berkali-kali. Bekas mufti bebas dari peraturan dan undang-undang ke ? (saya kata). Saya masih ingat dulu Tok Guru Dato Nik Aziz kalau nak berceramah di mana-mana Selangor tidak dibenarkan kerana tiada tauliah. Tapi yang jelas Dr Asrti terus menyampaikan ceramah dan pandangan kritisnya dalam ruangan akhbar dan ASTO OASIS. Lagi ramai pendengar dan pembacanya, bukan sahaja di Selangor !
Dr Mohd Asri memang ramai peminatnya. Ceramah dan tulisannya memang membuka suatu dimensi baru dalam kefahaman Islam. Tapi sayang, beliau dikaitkan memplopori amalan Islam Wahabi dan ini dinafikannya. Katanya fahaman Wahabi tidak pernah bertapak di Perlis tetapi Sunnah Perlis. (keliru saya).
Kata Yusri Muhamad, pandangan Dr Asri sering dilihat bertentangan dengan mufti dan ulama lain. Persatuan Peguam Syarie Malaysia pula menghantar memorandum kepada DYMM Yang DiPertuan Agong menentang perlantikan Dr Asri sebagai YDP YADIM.
Joceline Tan menulis, Dr Asri ‘soft-spoken and baby faced’ mendakwa ada tangan tersembunyi disebalik apa yang berlaku sekarang.
Saya tak begitu pandai nak menilai Dr Asri sebab ilmu yang ada tak layak mengulas pandangannya. Tapi saya selalu dan tetap meraikan dan menghormati perbezaan pandangan dan pendapat.

Sunday, November 1, 2009

YB Badul Hisham Abdullah

Saya pernah cakap Dato Nasarudin Hashim, ADUN Bota masuk PKR. Katanya dia masuk PKR sebab yakin dengan kepimpinan PKR, yakin PKR menjunjung Perlembagaan dan percaya permuafakatan PKR. Tapi lepas beberapa hari dia masuk balik UMNO dengan alasan yang sama !
YB Badrul Hisham Abdullah wakil rakyat N46 Pelabuhan Klang pernah mencetuskan kontravesi apabila membatalkan program Sukaneka Rakyat DUN Pelabuhan Klang pada saaat akhir yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk dan ditegur secara terbuka oleh YAB Menteri Besar Selangor supaya menjalan rawatan pakar psikatri kerana gagal menjalankan tugas sebagai ADUN PKR
Sekarang YB Badrul Hisham Abdullah pulak keluar PKR dan mengistihar sebagai wakil rakyat bebas dan menyokong BN. (bebas ke tu). Sebelum ini beliau juga pernah buat kenyataan menafikan akan mengikut jejak 3 ADUN Perak yang mengisitihar sebagai wakil bebas. Beliau juga membuat kenyataan akhbar tetap komited dan percaya dengan kepimpinan PKR.
Sekarang sesiapa pun tak payah nak jelaskan kenapa masuk atau keluar BN. Semua alasan hanya retorik je. Sebab akhirnya orang dapat lihat dan tahu kenapa orang politik membuat tindakan dan keputusan. Sebenarnya mereka hanya ada kepentingan poilitik, buat keputusan politik untuk kepentingan politik dan bukan kepentingan rakyat. Mereka hanya menggunakan rakyat untuk kepentingan diri dan mengangkat mereka sebagai wakil rakyat.

Saturday, October 24, 2009

Tan Sri Khalid Ibrahim

Tan Sri Khalid Ibrahim (Tan Sri), Dato Menteri Besar Selangor. Saya tak kenal Tan Sri sebagai pemimpin dan saya hanya mengenali beliau sebagai tokoh koperat yang berjaya membawa PNB sebagai satu kongelemorat yang berjaya. Walaupun kawan baik saya yang dihantar oleh Tan Sri sendiri bertugas di Jakarta ada juga mengatakan Tan Sri seorang yang berwawasan apatah lagi tentang masa depan orang Melayu. Saya juga pernah berpeluang mewakili seseorang turut sama hadir dalam perbincangan dengan Tan Sri tentang kemerosotn prestasi pelajar Melayu dalam Matematik dan Sains sebelum pemimpin Melayu lain, pihak media dan NGO membawa isu ini.
Tapi sekarang dia seorang Menteri Besar Selangor. Sebagai MB Selangor dia merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Bukan itu saya dia juga pemimpin politik Parti Keadilan yang perlu sokongan politik orang PAS, Cina (DAP) dan India dalam kerajaan bercampurnya. Tan Sri juga bertanggungjawab memastikan pertumbuhan ekonomi Selangor tidak di bawah paras sifar. Begitu juga tahap sosio-ekonomi rakyat Selangor sentiasa di atas berbanding negeri lain. Jadi sebagai pemimpin parti politik, Ketua Pegawai Eksekutif dan pemimpin Melayu boleh kah Tan Sri memastikan sentiasa bertindak bijaksana. Sebab, bila bertembung antara kepentingan Melayu, Cina dan India dan pertumbuhan sosio-ekonomi Negeri Selangor apakah agaknya keutamaan beliau ?

Monday, May 25, 2009

Ahmad Nayan

Saya kenal dia sejak tahun 2001. Dia adalah salah seorang peserta dalam penempatan PPRT di Sabak Bernam. Kalau berjumpa dia tanpa mengetahui latarbelakang pasti orang tidak akan sangka dia datang dari kelompok masyarakat termiskin dalam negara. Sebab ahli isi rumah keluarga miskin tegar selalunya mempunyai (1) sifat rendah diri (2) tidak akan membantah pandangan orang lain (3) tidak berani memberi pandangan apatah lagi bertentangan dengan pandangan orang lain dan banyak lagi ciri yang menyebabkan mereka jadi miskin.
Tapi bukan Ahmad Nayan. Dia semacam tidak layak tinggal di penempatan PPRT. Sebab kerajinan yang ada pada dia menyebabkan dia berjaya mengusahakan kebun sayur di atas tanah rezab kerajaan seluas tidak kurang 10 ekar yang memberi pendapatan lumayan kepada anak-anaknya dan jiran tetangganya. Dia ada kebun kelapa sawit di atas tanah kerajaan seluas 9 ekar dan 7 ekar yang sudah memberi hasil. Ini tidak termasuk tanah pesakanya. Semua diusahakan sebaik saja menyertai PPRT. Bila ditanya kenapa masuk PPRT. Jawabnya masa ditawarkan memang dia layak dan sangat susah. Jadi untuk hidup, dia perlu penempatan. Tetapi sifat rajin dan tidak malu yang ada pada dirinya, menyebabkan dia telah berjaya.
2 minggu lepas saya jumpa dia di kedai kopi dekat penempatan PPRT tempat tinggal. Lama saya tak singgah dan bersembang dengannya. Saya dapati projek pasar, kilang SMI dan kedai di situ gagal dan tutup je. Saya bertanya kepadanya. Kenapa ? Dia jawab dengan yakin. Katanya pemimpin bukan nak buat projek ekonomi yang akan meningkatkan pendapatan rakyat tapi sekadar projek PLB yang membantu kontraktor mendapat kerja. Pemimpin sepatutnya membina dulu kekuatan daya beli dikalangan rakyat. Dengan kekuatan daya beli meningkat barulah menjamin aktiviti ekonomi akan rancak dan seterusnya pertumbuhan ekonomi yang bertambah. Jadi bina apa pun mesti berjaya sebab orang ada kekuatan ekonomi nak berbelanja. .. . . katanya
Saya agak pegawai PLB Pejabat Daerah Sabak Bernam pun tak sampai fikiran macam dia ni

Saturday, May 23, 2009

Yusri Mohamad

Semalam saya menghadiri satu seminar One Malaysia anjuran Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM). MAIM adalah gabungan NGO Islam seluruh negara di bawah satu pakatan. Antara lain seminar ini bertujuan memberi platform kepada ahli panel dan peserta melontarkan pandangan dan isu berkenaan One Malaysia gagasan YAB Perdana Menteri Malaysia.
Salah seorang ahli panel dalam salah satu dari 2 sesi bengkel adalah Sdr Yusri Mohamad, Presiden ABIM. Beliau bersama ahli panel lain Prof Dr Yusof Othman dan Dato Zainal Abidin Hj Sakom telah membincangkan soal One Malaysia dari prespektif NGO Islam.
Secara peribadi saya pun tak tahu apa yang MAIM cuba nak hasilkan dalam sesi bengkel ini. Lagipun saya tak nak nampak reporteur pun dan ahli panel banyak bercakap dari aspek bagaimana One Malysia itu seharusnya difahami oleh rakyat sebagai suatu instrumen pembinaan bangsa Malaysia dan bagaimana kerajaan perlu menggariskan plan tindakan menjayakan gagasan tersebut.
Sdr Yusri Mohamad, mengatakan One-Malaysia seharus dilihat dalam kerangka realiti hidup dalam negara Malaysia untuk orang Malaysia dan berlatarbelakang semangat dan sejarah Malaysia. Ini bermakna One-Malaysia sama sekali tidak harus mengenepikan falsafah yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Islam Agama resmi, hak istimewa orang Melayu, kedaulatan Raja Berpelembagaan dan bahasa Melayu serta peruntukkan lain (memang saya setuju dengan pandangannya)
Dalam sesi soal-jawab ada seorang mamat dari NGO pensyarah/pentadbir IPT menyuarakan keresahan pelajar bukan Melayu begaimana mereka dipinggirkan sedangkan mereka lahir sebagai rakyat Malaysia. Ini termasuklah soal peluang kemasukkan IPT dan biasiswa. Dia juga menyuarakan bagaimana orang bukan Melayu menterjemahkan bantahan mereka kepada kerajaan dalam PR-12 baru-baru ini.
Saya sangat tertarik dengan penjelasan Sdr Yusri Mohamed. Walaupun saya hanya berkesempatan mendengar ceramahnya atau pandangannya kali yang ke 2, tetapi saya yakin beliau mempunyai semangat dan keberanian yang patut ada sebagai pemimpin Melayu. Ini yang saya katakan dulu. Kita perlu pemimpin (politik Melayu) bukan pentadbir. Saya yakin, hujahnya merentasi kepentingan diri apatah lagi politik. Katanya dengan agak emosi . . apa masalahnya bila pelajar Melayu mendapat keistimewaan kerajaan. Kenapa pemimpin parti politik Melayu (saya teringat PKR dan PAS) cuba nak menjadi champion atas isu kepentingan orang bukan-Melayu ? Kenapa pemimpin politik masih tak sedar diri asyik berperang antara mereka yang hanya akan menjurus masa depan orang Melayu yang gelap. Kenyataan yang padat dan berani iaitu . . orang Melayu memang sepatutnya mendapat keistimewaan jika orang bukan Melayu mahu terus hidup di Malaysia dengan aman dan sejatera. Saya sangat teruja. Saya bagi 5 bintang.

Friday, April 17, 2009

Khutbah Masjid Al-Hidayah 17/4/2009

Semalam saya menjalankan tugas saya sebagai muslim di masjid Al-Hidayah Kelana Jaya. Khatib yang baca khutbah macam berpidato politik je. Berapi2 macam ceramah kempen pilihanraya. Terlalak-lalak macam makmum yang hadir ramai dari kalangan OKU (pekak). Kalau Adlin Ramli ada, mesti dia kata . . . ‘aku sukalah dengan kau, sebab kata cakap dengan feeling dan semangat . . tapi tak payahlah terpekik-pekik'. Tapi saya kata, 'khutbah hang hampeh sebab macam ceramah politik PAS je' .
Macam PAS je yang mengangkat syiar Islam. Kerajaan tidak. Tak tahu nak cakap. Dah buta mata hati ke. Saya pun setuju Islam di Malaysia belum sempurna. Sebab yang sempurna itu Allah swt. Selagi manusia yang mengurus, mesti ada kekurangan.
Dia cerita tentang kehebatan Islam zaman Rasulullah dan era Saidina Omar. . Itu je. Kita nak dengar bagaimana kehebatan Islam sekarang dan masa depan. Bagaimana kita orang Islam nak bina tamadun yang terbilang. Cerita zaman dulu buat apa. . suruhlah Khatib balik ke zaman dulu. Naik unta.
Yang cerita semasa, semua rekaan dan tokok tambah. Misalnya sekarang orang Cina lebih percaya dengan ulama dan yang pakai serban. Penipu betul khatib ini, atau tertipu dengan pengundi Cina. Kalau pun pengundi Cina sokong calon PAS itu percaturan dan keperluan politik mereka.
Lepas itu dia kata Amy Search dan Dato Siti Nurhaliza kagum dengan ketokohan dan keperibadian Tok Guru Nik Aziz dan . . . mereka mula berminat dengan PAS. Kalau ada sesiapa kenalan Amy dan Dato Nurhaliza tolong ulasan khatib tu.
Dia tambah lagi, ada kes seorang pegawai tegur Ketua Pengarah beragama Islam tidak berhenti mesyuarat dan sembahyang. Akhirnya dikenakan displin dan kena tukar ke Sabah. Dia nak kata Ketua Pengarah bertindak zalim bila ditegur oleh pegawai bawahan dan menyalahguna kuasa. Sebenarnya dia yang menyalahguna kuasa bila guna mimbar burukkan orang lain. Tuhan tahu apa maksud dia. Tapi saya yang buruk sangka ni rasa . . . dia nak kata kerajaan sekarang tidak belum ditegur. Jika ditegur alamat akan gunakan kuasa susahkan orang.
Dia gunakan ruang khutbah Jumaat untuk jawab tindakan wakil rakyat Cina yang membaca Surah ‘AURA’ dan keluarkan fatwa ia dibenarkan oleh Islam. Sebab kononnya Nabi bila hantar utusan ke negara bukan Islam selitkan dengan ayat Quran (lagi penipu, sebab Quran dihasilkan bukan zaman nabi). Cakap mufti pun tak nak dengar. Apatah lagi orang lain.
Dia kata dengan menjadi Islam kita akan jadi hebat. Itu saya setuju. Sebab Islam mengajak kepada kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang. Tapi saya dengar macam dia cakap depan makmum ‘marilah masuk Islam supaya kita akan jadi hebat’ (mungkin saya salah faham . . sebab terganggu fikiran saya).
Inilah yang dikatakan menggunakan Islam untuk kepentingan politik (PAS) berbanding dengan Mahathir, Pak Lah dan sekarang Mohd Najib yang menggunakan UMNO untuk mengangkat Islam. Dalam rumah Allah pun memburukkan orang. Kalau nak memburukkan Barisan Nasioanal tulislah dalam blog, . . macam ahli PAS yang lain.

Saturday, April 11, 2009

Zaid Ibrahim vs Muhammad Muhd Taib

Zaid Ibrahim menjadi Menteri Karbinet hanya untuk tempuh 5 bulan 27 hari. Kecuali kenyataan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato Zaid memang pemimpin Melayu yang berani, berilmu, berwawasan dan berprinsip. Dia membantah kerajaan kerana menggunakan peruntukan ISA menahan Terresa Kok, Raja Kamarudin dan Tan Hoon Cheng. Malah sebelum itu, beliau menunjukkan tidak bersama kerajaan era Tun Mahathir, apabila memperakukan bayaran ex-gratia kepada hakim yang dipecat kerajaan. Akhirnya dia meletakkan jawatan dan dipecat dari UMNO

Muhammad Muhd Taib pula menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar hanya selama 13 bulan sahaja setelah sekian lama menunjukkan setia dan menghambakan diri untuk kerajaan dan parti, termasuk membangunkan sosio-ekonomi Selangor (1986-1997). Semasa menjadi menteri dia membuat suatu anjakan paradigma dalam pendekatan menteri dengan rakyat. Semua rakyat luar bandar (kecuali penyokong tegar pembangkang) akan memuji dan terpersona dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Program turun padang memang boleh meningkatkan keyakinan rakyat dengan BN. Tapi sayang YAB Perdana Menteri tak sambung perkhidmatannya pada 4/11/2009 lepas.

Nampaknya apakah asas seseorang pemimpin diperlukan sebagai Menteri ? Melihat kes Zaid dan Muhammad Muhd Taib saya mula tak faham dengan kepimpinan YAB Dato Seri Muhd Najib Tun Razak.

Monday, March 30, 2009

Tan Sri Muhyidin Yassin

Siapa sebenarnya yang memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai Timbalan Presiden UMNO baru-baru ini. Jawapannya sudah tentu perwakilan seramai 1,575 orang sedangkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib (TSMT) hanya menjadi pilihan kepada 938 orang perwakilan sahaja.
Apa dan siapakah yang mempengaruhi 1,575 orang memilih TSMY dan menggerakkan hati 938 orang memilih TSMT. Apakah faktor yang menyebabkan TSMY lebih menarik minat perwakilan berbanding TSMT? Dato Fuad Hassan bekas wakil rakyat Hulu Klang Selangor mengulas dalam program 'Kerusi Panas' Radio 24 pilihlah pemimpin kerana wawasan dan kepimpinannya dan bukan hubungan baiknya. Kenyataan itu bagi saya, tidak lebih dari permintaannya dan bukan pengamatannya yang berlandaskan kajian.
Untuk memahami bagaimana pemilihan Timbalan Presiden UMNO, saya berikan analogi bagaimana kepimpinan UMNO Bahagian dan Cawangan dilaksanakan. Kepimpinan UMNO sering ditentukan hanya 1) Pengaruh 2) Kempen/lobi 3) Signal pemimpin 4) Kepimpinannya 5) Hubungan baiknya atau PR 6) Sifat pemurahnya dan 7)Rasuah politik atau politik wang (Jika ada orang tidak bersetuju dengan pandangan saya saya minta maaf)
Jadi apakah yang menyebabkan TSMY berjaya mengatasi TSMT. 1) Adakah wujudnya pengaruh (media atau jentera yang tersusun) atau 2) Siri kempen dan lobi yang sangat berkesan atau 3) Signal Presiden atau bekas-bekas Presiden atau bekas pemimpin UMNO lain atau 4) Kepimpinannya atau 5) Sifat peramahnya dengan ahli UMNO sebelum ini 6) Sifat pemurahnya dan ramai yang telah dibantu atau 7) Rasuah politik atau politik wang ? (Tapi ini tidak mungkin sebab dia seorang pemimpin yang berintegriti)
Saya tak kenal TSMY dan saya bukan perwakilan. Tetapi kalau saya perwakilan saya pilih TSMT di atas sebab yang pernah saya nyatakan sebelum ini.

Thursday, March 12, 2009

Norliza bt Rahmat

Dia ni sepupu saya, masa kecil dulu saya panggil dia adik je. Berumur lebih 40 tahun. Dah ada 5 orang anak yang berumur antara 6-20 tahun. Tapi pada 28/2/2009 lepas dia telah mencipta sejarah di kalangan saudara sebelah emak saya. Apa tidaknya. Dia bernikah (selepas hampir 3 tahun bercerai) dengan seorang jejaka bujang pilihannya yang berumur sekitar 30an. Yang untung lelaki ni kahwin terus dapat 5 orang anak.
Saya nak kata Norliza ni kira terror lah. Semua sanak saudara baik sebelah lelaki maupun sedara sebelah pengantin perempuan (termasuk saya) meraikan perkahwinan dia di salah sebuah restauran di Ibu Kota. SELAMAT PENGANTIN BARU (LAMA) NORLIZA (ADIK)

Thursday, March 5, 2009

Ahli UMNO Selangor

Iklim politik sekarang menuntut semua ahli UMNO Selangor mempunyai jatidiri yang tinggi. Ahli UMNO Selangor semua peringkat di semua 22 bahagian di Selangor perlu bersatu menghadapi saingan politik mereka iaitu PKR, PAS dan DAP. Kepimpinan UMNO Selangor mesti berjuang hingga ke titisan darah terakhir merampas kembali Selangor dari PKR. Orang UMNO Selangor tidak lagi boleh terlalu asyik berpolitiking sesama mereka.
Tapi boleh kah mereka bertahan apabila tidak lagi dapat peluang berniaga dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Sebab semua orang tahu tahu kepimpinan UMNO sekarang majoritinya terdiri dari usahawan dan kontraktor yang mencari makan dengan kerajaan. Kecuali peluang berniaga dengan kerajaan persekutuan, peluang dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan nampaknya tertutup rapat. Malah ada dari kalangan kepimpinan UMNO telah mengistihar sebagai ahli PAS atau PKR demi menjaga kelansungan perniagaan mereka.
Boleh ke kepimpinan UMNO Bahagian di seluruh 22 bahagian bersatu, dengan visi merampas Selangor. Tapi apakah misi mereka untuk mencapai visi tu. Ya, saya berpendapat misi mereka adalah memenangkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Timbalan Presiden UMNO demi mencapai visi tersebut. Ia sangat murni dan semua kepimpinan UMNO Bahagian di Selangor akan bersetuju. Tapi bersediakah mereka menzahirkan dengan tindakan sewajarnya.
Kalau mereka tak mampu melakukannya. Alamat bertambah ramai ahli UMNO di Selangor akan tukar baju lepas ni. Sebab kepada ahli UMNO, menjadi ahli politik pembangkang sangat pedih dan menyiksakan.

Monday, March 2, 2009

Tan Sri Muhammad Muhd Taib

Persepsi manusia tentang sesuatu isu sentiasa berubah mengikut masa dan keperluan. Kecuali kepimpinan sepanjang zaman Rasulullah, keputusan manusia juga menngikut zaman dan lanskap pemerintahan. Misalnya Tunku melepaskan Singapura dan Malaysia dalam 1964. Masa itu, Allahyarham merasakan ia wajar, walaupun terlalu berat keputusan mengeluarkan Lee Kuan Yew. Namun masa tu ia adalah untuk kepentingan politik dan bangsa Melayu. Jika tidak, mungkin kita senasib dengan orang Melayu Singapura sekarang.
Begitu juga kenapa UMNO memilih Tun Abdul Rahman dan tidak Mustafa Hussain sebagai Yang DiPertua UMNO selepas Dato Onn Jaafar pada tahun 1951. Memang ada faktor lain tapi, Tunku mendapat sokongan Istana dan masa itu sokongan istana sangat diperlukan. Begitu juga kenapa Tun Mahathir diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bukan Tunku Razaleigh. Walhal sebagai Naib Presiden UMNO, Ku Li lebih senior ketika itu. Sebabnya masa tu UMNO lebih memerlukan kepimpinan Tun Mahathir dan bukan Ku Li. Malah kenapa Allahyarham Sultan Selangor bersetuju melepaskan Kuala Lumpur. Sebab demi kepentingan politik Melayu masa tu.
Sekarang, UMNO perlu buat keputusan samada nak memlih Muhyiddin Yassin atau Ali Rustam atau Muhammad Muhd Taib sebagai Timbalan Presiden. Kalau beri kuasa kepada Dato Seri Mohd Najib, dia tahu siapa yang perlu diangkat sekarang. Siapa yang patut jadi orang No 2 semasa UMNO sedang menghadapi sindrom keyakinan rakyat. Semasa 4 negeri jatuh kepada pakatan pembangkang. Masa BN kehilangan majoriti 2/3 di parlimen. Masa bangsa lain dah mula kurang ajar dengan orang Melayu dan kesultanan Raja Melayu. Dan yang paling penting masa Selangor, negeri di mana pertumbuhan KDNK paling pesat berlaku hilang ke tangan pakatan pembangkang. Hilang Selangor macam kehilangan Malaysia sebahagian besarnya.
Saya fikir kalau UMNO nak menawan semula keyakinan rakyat dan mahu disusun semula supaya lebih dinamik dan lebih relevan, untuk merampas kembali negeri yang kalah, kalau UMNO nak dapat semula majoriti 2/3 di parlimen. Dan yang paling penting kalau nak UMNO merampas semula Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mesti diberi peluang sebagai Timbalan Presiden UMNO. Sebab dalam iklim politik sekarang, itulah yang diperlukan UMNO. Seorang pemimpin akar umbi yang sentiasa dekat dengan rakyat iaitu Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Sunday, March 1, 2009

Abdul Rahim Yaakob

July 1979 saya mendaftar masuk universiti. (Universiti Sains Malaysia) Salah seorang kenalan sepanjang sesi suaikenal dan tahun pertama ialah seorang budak KL dari Victoria Institution, Abdul Rahim Yaakub namanya. Ada juga masa bincang semasa pendaftaran subjek saya hampir nak ikut dia major dalam Chemistry. Malah pada semester pertama saya ambil paper chemistry sama dengan dia. Tapi akhirnya 2nd year saya decided major dalam Mathematic (Statistic).
Dia meneruskan pengajiannya dalam Chemistry. Dia minor dalam management sama dengan saya. Dia budak yang baik dan berdisiplin, walaupun band boy dan pandai nyanyi. Lagu favourite dia bunyi gitar lagu The Blues Gang.
Tahun 1993 saya jumpa dia lagi di UTM. Masa tu kami ambil peperiksaan Ujian English untuk pra-syarat melanjutkan pelajaran ke eringkat sarjana. JPA memang syaratkan semua kakitangan awam yang berminat melanjutkan pelajaran dan ditaja kerajaan mesti capai suatu tahap kelulusan Ujian English JPA. Masa tu saya tanya dia kerja mana. Dia kata Jabatan Kimia. Lepas tu tak jumpa dia lagi.
Hari Rabu 26/2/2009 saya baca Utusan Malaysia dalam ruang Mega, saya terbaca artikel pasal Sains Forensiik. Terkejut, bila saya terbaca Prof Madya Dr. title dia sekarang dan bertugas sebagai Ketua Jabatan Kimia UTM. Tahniah Rahim. Jangan lupa bunyi guitar.

Tuesday, January 27, 2009

Dato Nasarudin Hashim

Dato Nasarudin Hashim, ADUN Bota masuk PKR setelah sekian lama berkhidmat sebagai ADUN dan Ahli Parlimen di bawah parti UMNO atau BN. Kenapa Dato Nasarudin lompat parti? Sebenarnya dia yang tahu jawapan sebenar walaupun dia boleh bagi 1001 alasan.
Katanya (1) dia amat yakin dengan kepimpinan PKR, (2) dia yakin PKR akan tetap menjunjung dan menghormati peruntukkan Perlembagaan Persekutuan, (3) dia percaya permuafakatan PKR mampu mengurus dengan negara dengan baik dan (4) membolehkan dia menjadi ADUN yang lebih berkesan dan memberi khidmat terbaik kepada penduduk setempat.
Saya tak kenal Dato Nasarudin. Dan saya tidak bercadang membuat sebarang analogi tentang lompatannya. Tapi saya rasa dia jugak macam ahli politik yang lain. Orang politik bijak berpidato dan berhujah. Itu kelebihan mereka. Saya percaya semasa berkempen di atas tiket BN dia beri alasan yang sama (1) kepimpinan BN adalah yang terbaik, (2) BN adalah parti yang mengangkat kedaulatan perlembagaan dan undang-undang dan (3) permuafakatan BN mampu mentadbir negara. Itu dulu. Sekarang iklim politik dah berubah agaknya. Dia kena cari jawapan yang sesuai dengan masanya. Dan yang paling penting sesuai dengan kepentingan politiknya.
Tetapi alasan yang (4) saya pun setuju. Yang itu dia tak cakap politik. Dia cakap demi kepentingan pengundi dia.

Friday, January 23, 2009

Dr Hassan Ali

Hari ini saya sembahyang jumaat kat Masjid Al-Hidayah SS3 Kelana Jaya. Bila khatib memulakan khutbahnya merasakan biasa mendengar suaranya. Akhirnya saya sedar Dr Hassan Ali, EXCO Agama Kerajaan Negeri Selangor yang juga merangkap Yang DiPertua PAS Negeri Selangor sedang membaca khutbah.
Saya manusia biasa. Sepanjang mendengar khutbahnya yang baik dan jelas perkataan, saya terganggu mengingatkan Dr. Hassan Ali juga seorang ahli politik. Memang saya prejudis dengan apa yang disampaikannya. Dia bercakap pasal kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Katanya, selama ini tiada siapa yang ingatkan kita bahawa kita bertanggungjawab menjaga Agama Allah. Kerajaan hanya mementingkan kejayaan dunia dan meninggalkan akhirat. Walau kita berjaya menjadi doktor pakar, jurutera atau pengurus kilang yang mempunyai beratus pekerja tidak ada gunanya di akhirat nanti. Sebab yang ditanya Allah adalah apakah jihad kita untuk Agama sepanjang kita hidup di dunia ini. Dia mengajak jemaah buka minda dan kembali kepada sistem Islam. Sistem sekarang tidak Islam, tidak mementingkan aqidah dan syariah. Sistem pendidikan sekarang adalah sekular dan mengabaikan akhirat.
Saya setuju kita mesti menjadi khalifah di atas muka bumi ini dan memberi rahmat kepada sekian alam. Saya juga setuju kerosakan dan kepincangan akhlak yang berlaku sekarang. Tapi saya tidak setuju apa yang dibuat kerajaan lansung tidak mempertingkatkan taqwa kepada Allah. Usaha kerajaan melahirkan ramai orang Melayu (Islam) berjaya jadi doktor pakar membantu menyelamatkan nyawa supaya orang boleh terus beribadat bukankah jihad namanya. Jadi pengurus kepada beribu orang supaya dapat makan bagi anak bini makan bukankah jihad namanya. Termasuk usaha kerajaan membantu ramai orang Melayu dapat PHd supaya kaum Melayu juga setaraf dengan bangsa lain di dunia ini. Saya rasa loya bila dia berkhutbah mengatakan usaha kerajaan yang tidak Islamik, sedangkan dia pun bermula dari sistem pendidikan kerajaan ini. Dia langsung tidak menghargai jasa pemimpin terdahulu yang berjuang mengangkat mertabat Islam di negara ini. Dr Hassan Ali membaca khutbah macam ceramah politik, ada muslihat politik dan berkepentingan poilitik PAS sahaja. Sebab apa saya prejudis?, Sebab dia adalah Naib Presiden PAS. (Tak kisahlah kalau ada orang tak setuju atau sanggah pandangan saya ini)

Thursday, January 22, 2009

Abang Dollah & Kak Normi

Abang Dollah dan Kak Normi adalah sepasang suami isteri. Berumur sekitar 65-70 tahun. Sepupu saya. Sekarang tinggal jauh dari sanak saudara iaitu di Kg Jeransang Bera, Pahang. Sebelum ini tinggal di Hulu Langat Batu 9, dan rumah mereka merupakan destinasi tetap kami beraya setiap tahun. Mempunyai anak 3 orang semua dah berumah tangga.
Abang Dollah yang saya kenal seorang yang baik hati dan mudah senyum. Saya tak pernah nampak dia marah atau nak marah dengan sesiapa pun. Dari dulu sejak saya kenal dia, hanya mencari rezeki untuk keluarga dan menolong bapa mertua berniaga kedai jika ada kelapangan. Tak pernah cuba nak cari pasal dengan sesiapa pun. Kak Normi pula sepupu saya. Suka bercerita. Senang bersembang dengan dia. Sayangnya anak-anak mereka tak dapat membantu kehidupan mereka sekarang. Kenapa mereka pindah dan bersendirian ke Bera Pahang ? Mereka bukan balik kampong. Tapi, macam bawa diri jauh dari sanak saudara. Tak siapa yang tahu kenapa. Saya pernah menziarah mereka 2 kali sejak dia bawa diri ke Pahang.
Minggu lepas dia datang dengan bas dan bermalam di rumah saya di Shah Alam. Kenapa dia pilih rumah saya ? Saya rasa sebab mereka senang dengan kami sekeluarga. Agaknya itulah sebabnya kita perlu baik dengan siapa pun pada semua ketika di mana pun. Saya ambil kesempatan bawa mereka menziarahi seramai mungkin sanak saudara di sini. Selepas 2 malam di rumah, saya hantar ke rumah anaknya setelah dimintanya.

Sunday, January 18, 2009

Wan Farid Wan Salleh

Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu, calon PAS (Mohd Abdul Wahid Endut) menang apabila mendapat 32,883 undi mengalahkan calon BN Dato Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang hanya mendapat 30,252 undi. Saya rasa pengundi Parlimen Kuala Terengganu memang tahu menggunakan hak dan kuasa mereka sebagai pendaftar. Sejak pilihanraya 1986 lagi kerusi Kuala Terengganu sering saling bertukar tangan antara BN dan PAS/Semangat 46.
Masa sudah berubah. Pengundi sudah tahu hak. Tapi ada jugak orang cakap pengundi nampaknya bertambah mudah terpengaruh dengan dakyah dan momokan anti-kerajaan. Kerajaan pulak gagal menangani tohmahan pembangkang terutamanya melalui internet apatah lagi tuduhan bersifat peribadi.
OKlah saya tak berminat nak cakap pasal tu. Tapi saya cuma nak cakap yang pastinya Dato Wan Ahmad Farid bukan calon popular dikalangan pengundi Kuala Terengganu. Dia hanya pilihan UMNO. Saya pernah cakap yang memenangi calon BN bukan ahli UMNO tetapi rakyat. Maknanya seseorang calon BN pertamanya mesti diterima rakyat. Macam mana nak pastikan semua calon UMNO adalah calon rakyat setempat. Jawapan mudah. Pemimpin UMNO dari Ketua UMNO Cawangan hingga Ketua UMNO Bahagian yang nak dipilih oleh ahli UMNO mestilah orang yang terima oleh rakyat bukan ahli UMNO sahaja.
Yang kedua orang UMNO mesti pengundi di kawasan tersebut. UMNO mesti buat proses pemutihan di mana ahli UMNO yang tidak mengundi di Bahagiannya lebih baik jangan jangan ahli. Sebab dia tidak akan boleh menolong parti untuk menang pilihanraya.

Saturday, January 17, 2009

Abang Buyong

Petang tadi saya menziarah sepupu saya, Abang Buyong (60 tahun). Dah pencen. Rasanya bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Anak-anak (2 lelaki 2 perempuan) semua dah kahwin. Kehidupannya sekarang hanya bersama isteri (macam baru kahwin), collect pencen setiap bulan dan terima kedatangan anak menantu, cucu dan sanak saudara dari masa ke semasa. Tapi oleh kerana dia masih ada masa lapang. Jadi dia ambil upah tolong orang berniaga pasar malam. OK juga ada tambahan pendapatan. Mungkin pengamatan saya salah, tapi kehidupannya saya lihat bahagia bersama isterinya.
Saya tak rapat dengan Abang Buyong ini, Tetapi saya anggap dia dah jadi orang tua dalam keluarga emak saya. Cuma kehadirannya dalam majlis-majlis keluarga tak begitu menyerlah berbanding dengan sepupu yang lain. Dia juga ada masalah tabiat kuat merokok.
Abang Buyong akan raikan sanak saudara yang datang ke rumahnya. Mungkin bila kita masuk warga emas, bila kita dikunjungi sanak saudara kita rasa sangat gembira. Dia juga suka bergurau dengan semua peringkat umur sanak saudaranya. Tetapi dia juga mudah tersinggung dengan anak saudara tidak menunjukkan hormat kepadanya. Saya fikir ini fenomena biasa bila masuk golongan warga emas nanti. Tapi dia juga kuat melatah.

Thursday, January 15, 2009

Abdullah Ahmad

Abdullah bin Ahmad, pangkat Abang saudara saya di Taiping. Berasal dari Melaka. Bekas estet manager di Taiping. Lulusan ITM (1972). Orangnya sangat berpengetahuan tentang pengurusan ladang dan hal-ehwal pertanian, terutamanya tentang kelapa sawit. Kalau dia bercakap tentang kelapa sawit dia memang layak dibayar sebagai penceramah bertauliah dari PORLA atau PORIM. Sekarang berumur 56 tahun. Sudah melepaskan jawatan nya sebagai pengurus estet.
Hubungannya dengan saya baik. Kami sering sependapat dalam isu-isu umum terutamanya hal kekeluargaan. Orangnya saya lihat sangat peramah dan mudah mesra. Begitu juga dengan perhubungan dengan sanak saudara yang lain, saya tak nampak sebarang sebarang masalah sebab dia sangat disenangi.
Tetapi bila saya mula mengenali diri secara dekat sejak 5 tahun kebelakangan, saya dapati dia ada satu masalah besar dalam hidupnya, iaitu menangani masalah diabetes kronik yang dihadapinya. Secara akademik dia selalu bersetuju dengan saya iaitu masalahnya hanya boleh diatasi dengan pendekatan perubatan moden iaitu suntikan insulin. Dia juga bersetuju kegagalan dia mengambil suntikan insulin akan menyebabkan kerosakaan buah pinggangnya dan seterusnya mengundang penyakit lain seperti darah tinggi dan penyakit jantung. Saya sering juga mencadangkan dia mengambil suntikan insulin untuk mengatasi masalahnya. Dia juga selalu bersetuju. . . Sebab itu apa yang dibacanya.
Tetapi tidak kepercayaannya. Dia masih yakin dengan perubatan alternatif termasuk mengambil 'supplimentary'. Petang tadi saya tergesa ke Ipoh apabila diberitahu dia mengalami stroke dan tidak boleh menggerakkan anggota badan dan tidak boleh lagi bercakap. Bila saya jumpa dia tadi, saya tak lagi suruh ambil suntikan insulin tetapi suruh dia bersabar dengan dugaan Allah. Mudah-mudahan dia akan kembali sihat. Bila dia sihat boleh saya sembang dengannya lagi. Seronok sembang dengan dia.

Wednesday, January 14, 2009

Maimunah Buyok (Mak Teh)

Pada hari Sabtu 10/1/2009 saya dan keluarga berkesempatan menziarah Mak Teh saya di Selayang. Namanya Maimunah bt Buyok, berumur sekitar 75 tahun. Selama ini dia sentiasa nampak sihat, tapi kebelakangan ini selalu mengadu sakit-sakit dan kesukaran bergerak. Dia selalu beritahu saya nikmat hidupnya sedikit-sedikit mula diambil oleh Yang Maha Esa. Tapi Mak Teh saya ini special, dalam keadaan apapun dia selalu bergurau dan tak lupa sembahyang.
Sebagai anak saudara, menziarahi mak saudara memanglah dituntut, sebab ia boleh membawa kita kepada keinsafan dan mengingatkan kita akan kebesaran Allah. Tapi emak saudara yang menerima kunjungan anak saudara, saya agak mereka sangat berbesar hati dan berasa sangat teruja. Dia sangat gembira kerana kita mengingatinya apatah lagi ketika umurnya di hujung kehidupannya. Ini adalah kali kedua saya menziarahi. Dan bila balik, kami akan diiringi dengan tangisan perpisahan.
Sebagai orang tua, setiap perbualan dengannya akan merungkai sejarah dan peristiwa silam. Tak kira 'good or bad story or even ugly one'. Sebab dia tak ada kepentingan dalam setiap plot ceritanya. Dia tak perlu jaga hati sesiapa pun. Dia pun tak nak bawa cerita tu ke alam kubur nanti. Apa yang penting semua dikeluarkan bila ada kesempatan bersembang dengannya. Seronok jugak.

Tuesday, January 13, 2009

Pak Ngah Tukang Gali Kubur Selayang.

Seorang kawan lama saya yang saya kenali 15 tahun yang lalu datang berjumpa saya petang tadi. Tujuannya adalah untuk membawa 'living testimonial' kes kehidupan seorang tukang gali kubur di Selayang yang hidup serba daif dan kekurangan, Pak Ngah gelarannya. Berumur 82 tahun nampaknya berasal dari utara. Badannya kurus nampak sihat tetapi tangannya penuh dengan urat dan kedut-kedut. Menurutnya setelah 25 tahun dia berkhidmat dengan Masjid Selayang di bawah 5 orang nazir dan bertanggungjawab menggali kubur di tanah perkuburan Selayang dia masih tidak mempunyai rumah sendiri kecuali menetap di sebuah pondok di atas tanah kubur.
Hairan juga mendengar cerita Pak Ngah tu. Di Selangor yang dikatakan negeri maju mana ada orang tak ada rumah. Kerajaan negeri Selangor membelanjakan berjuta ringgit untuk memastikan rakyatnya mempunyai tempat berlindung yang selesa di bawah program Kerajaan PRIHATIN. Tapi nampaknya Pak Ngah masih berlindung dalam pondok di atas tanah kubur. Saya terus membantu dengan menghubungi Lembaga Zakat Selangor dan merujuk kes ini. Saya tak nampak sebarang masalah untuk Lembaga Zakat Selangor menyelesaikan masalah ini. Tapi yang saya hairan, kenapa masih ada kes macam ini. Pak Ngah berkata, setiap kali menghadapi pilihanraya dia akan dijanjikan rumah. Menurutnya lagi janganlah bila dia mati baru nak bagi rumah. Dia perlukan rumah untuk baki sisa hidupnya yang sedikit ini.

Sunday, January 11, 2009

Nor'aini Awab @ Alias

Nor'aini Awab@Alias, seorang pensyarah di Kolej Profesional MARA Indera Mahkota Pahang. Dia menghubungi saya pada hari Jumaat 8/1/2009. Peranan beliau mudah tetapi cara beliau menjalankan tugasnya sangat berhemah dan sangat menyenangkan. Walaupun saya tak pernah jumpa orangnya tetapi setiap perkataan yang disampaikan kepada saya, saya dapat rasakan keikhlasannya. Akhirnya dia benar-benar membantu saya membuat keputusan penting tentang masa depan anak saya.
Begini ceritanya. Sebagai seorang pensyarah kepada anak saya di Kolej Professional MARA Indera Mahkota Pahang, dia bertanggungjawab memaklumkan kepada ibu-bapa prestasi anaknya yang belajar di kolej. Dalam kes saya ini, dia benar-benar telah membantu saya membuat keputusan. Tanggungjawabnya memaklumkan prospek dan potensi anak saya cukup mudah saya faham. Penyampaiannya yang ikhlas tanpa sebarang prejudis dan elemen cuba menghukum apatahlah melabel. Tak ramai orang macam ini. Saya rasa bangga berpeluang berurusan dengan orang yang macam ini. Dia memudahkan dan membantu. Mungkin dia memang mempunyai kebolehan menyampaikan dengan baik. Saya hanya ingin menggunakan platform blog ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Nor'aini Awab @ Alias kerana membantu saya menyelesaikan masalah anak saya di KPM Indera Mahkota. Saya berharap apa yang telah dilakukan kepada saya akan dihisab sebagai pahala oleh ALLAH swt. Saya juga mahu orang lain tahu kebaikan yang dilakukannya kepada saya dan anak saya. TERIMA KASIH Puan Nor'aini Awab @ Alias

Monday, January 5, 2009

Pilihanraya Kecil (Kuala Terengganu)

Tahun 1986 calon BN, Zubir Embong mendapat 39.4% undi (19,139) mengatasi PAS, Mustafa Ali yang hanya mendapat 32.5% undi (15,815). Tetapi pada pada tahun 1990 calon pembangkang pula mengatasi BN apabila calonnya S46 (Dato Manan Othman) mendapat 38.6% undi (21,310) menewaskan calon BN (Zubir Embong) yang hanya mendapat 35.2% undi (19,430)
Dalam PRU-9(1995) calon BN pula mengatasi calon PAS apabila Dato Abu Bakar Daud mendapat 40.9% undi (25,624) berbanding calon S46 Dato Manan Othman yang hanya mendapat 33.2% undi (20,772). Tetapi keputusan dalam PRU-10 (1999) pembangkang kembali merampas carta apabila calon PAS, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendapat 49.4% undi (31,580) berbanding calon BN Dato Abu Bakar Daud yang hanya mendapat 26.8% undi (17,132)
Tetapi dalam PRU-11 (2004) calon BN Dato Razali Ismail merampas kembali kerusi apabila mendapat 42.9% undi (30,994) mengatasi 'incumbent' PAS, Ayed Azman Syed Ahmad Nawawi yang hanya mendapat 40.2% undi (29,061). Malah dalam PRU-12 (2008) Dato Razali Ismail tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mempertahankan reputasi BN apabila mengekalkan kerusi apabila mendapat 40.5% undi (32,562) mengatasi calon PAS, Muhamad Sabu yang hanya mendapat 39.8% undi (31,934) dan calon BEBAS Mak Cik Mon, yang mendapat 685 undi.
Kali ini, boleh ke Dato Wan Farid mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang silih berganti bertukar tangan sejak 1986 kecuali 2004 dan 2008. Jawapannya BOLEH jika jentera BN kerja kuat. SELAMAT BERJAYA BRO

Sunday, January 4, 2009

Wan Farid Wan Salleh

Calon Barisan Nasional (BN), Dato Wan Farid Wan Salleh, merupakan calon yang paling layak dan sesuai, jika mengambil kira wakil UMNO parlimen tersebut. Sebagai Ketua UMNO Bahagian beliau berupaya menggerakkan jentera BN dengan komitmen sepenuhnya. Dan sebagai parti yang memerintah sekarang, dia akan mendapat sokongan padu YAB Menteri Besar. BN sudah tentu tidak punya banyak kelebihan kali ini.
PAS pula meletakkan Abdul Wahid Endut YDP PAS Kuala Terengganu yang juga wakil rakyat ADUN Wakaf Mempelam sejak 1990. Dia juga merupakan calon yang tidak kurang hebatnya. Sebagai parti PAS yang pernah memerintah Terengganu 2000-2004, PAS tidak akan ada masalah untuk menjual calon mereka kepada rakyat Terengganu.
Semasa PRU-2008 yang lepas Abdul Wahid Endut tidak bertanding parlimen sebab dia bertanding dan menang dengan undi 9,645 undi kerusi DUN Wakaf Mempelam yang dimenangi sejak 1990. Tapi kenapa BN diwakili oleh Allahyarham Dato Razali Ismail walaupun menang dengan undi 32,562 undi. Kalau kira mudah Dato Wan Farid Wan Salleh, saya rasa tak ada masalah untuk menang. Tapi pilihanraya kecil Kuala Terengganu TIDAK AKAN JADI macam tu. Dato Wan Farid Wan Salleh memang kena kerja kuat. Orang UMNO memang kenal dia. Tapi yang memenangkan calon adalah rakyat bukan ahli UMNO. Jadi sekarang dia kena yakinkan seluruh pengundi Kuala Terenganu bahawa dia adalah pilihan terbaik. SELAMAT BERJUANG BRO.

Saturday, January 3, 2009

Allahyarham Dato Razali Ismail

Pilihanraya Kecil P036 K.Terengganu 17hb Jan 2009 akan datang bukan sahaja suatu manifestasi Malaysia yang mengamalkan kebebasan berpolitik. Kebebasan rakyat untuk memilih dan dipilih sebagai sebahagian proses menentukan kuasa legislative dalam negara. Pilihanraya Kecil P036 K.Terengganu 17hb Jan 2009 bukan sekadar usaha satu kelompok memastikan UMNO atau Barisan Nasional berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi atau peluang PAS merampas kembali dan mengukuhkan 'bargaining-power' dalam PAKATAN RAKYAT seterusnya mempertahankan sebagai parti pembangkang dalam parlimen. Pilihanaraya Kecil P036 K. Terengganu bukan sahaja peluang rakyat K.Terengganu menuntut segala macam desakan yang menyebabkan Kerajaan Pusat Barisan Nasional terpaksa korbankan prinsip demi untuk politik. Malah Pilihanraya Kecil P036 K.Terengganu BUKAN sekadar platform merungkai dan menyelesaikan segala macam masalah sosio-ekonomi setempat yang bersifat semasa.
Pilihanraya Kecil P036 K.Terengganu adalah sebahagian proses pembinaan suatu bangsa Malaysia. Untuk memastikan bangsa Melayu berjaya seperti bangsa-bangsa lain di seluruh dunia, kita perlukan lanskap politik yang kondusif. Kita mahu kerajaan yang stabil dan sentiasa merancang masa depan bangsanya. Untuk memastikan bangsa Malaysia adalah bangsa maju kita perlu suatu pakatan politik yang pragmatik dan berkesan. Kita perlukan suatu kesatuan antara inspirasi rakyat dan dasar pemerintah.
Sekarang pengundi K.Terengganu bertanggungjawab dalam menjayakan proses pembinaan bangsa Malaysia ini. Kita sudah lama tertinggal akibat penjajahan selama 440 tahun. Kita tidak mampu sebarang usaha yang melambatkan pembinaan suatu bangsa Melayu yang berjaya. Kita dalam perjalanan yang betul sekarang. Pengundi K. Terengganu anda mampu menjayakannya. Allahyarham Datuk Razali Ismail telah melakukan apa yang patut. Sedekahkan Al-FATIHAH untuknya.

Thursday, January 1, 2009

Abdul Rahim Zulhairy

Hari ini hari orientasi sekolah Abdul Rahim anak saya yang ke 4. Dia mendaftar sebagai murid Tahun 1 Sekolah Rendah Kebangsaan Seksyen 6 Shah Alam. Melihat gelagat pelajar, terkenang saya semasa mendaftar sebagai murid Darjah 1 Sekolah Rendah Kebangsaan Gombak Setia pada tahun 1967. Yang saya ingat hari tu saya ditemani oleh emak saya. Kami jalan kaki hampir 1.6 km (1 batu) dalam hujan (ada payung, bukan macam drama atau filem Melayu sekarang tiap kali hujan tak berpayung). Selainnya saya dah lupa.
Tapi pagi ini Abdul Rahim dihantar oleh emaknya dengan kereta. Saya menyusul sejam kemudian. Sepanjang pengamatan saya, daripada semua 25 orang murid dalam kelas anak saya, saya tengok mereka gembira dan tak rasa takut malah nampaknya begitu teruja. Walaupun baru kali pertama berjumpa, mereka sangat asyik bersembang pasal Naruto, Bi-Daman, Ultraman dan Sponge Bob. Begitulah bersih hati mereka. Langsung tak ada nak mengata apatah lagi mengutuk sesiapa pun.
Tapi senario berbeza dengan ibu-bapa yang mengiringi mereka. Kedengaran ada kalangan mereka yang mengata ce' gu tu memuji ce' gu ni, mengata sekolah tu, memuji sekolah ni. Malah dah mula complaint itu complaint ini. . . Saya perhati je. Cuma yang kurangnya saya rasa perlu majlis simbolik penyerahan anak oleh ibu-bapa kepada guru. Baru kita mengangkat institusi guru dan sekolah tu pada tempatnya.