Wednesday, March 19, 2008

Muhammad Muhd Taib

Tan Sri Muhammad bin Muhd Taib, MMT diberi kepercayaan oleh YAB Perdana Menteri memimpin Kementerian Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah, KKLW dalam pengumuman barisan karbinet baru-baru ini. Tahniah Tan Sri. Saya bukan ada kepentingan lain selain dari keyakinan saya sebelum ini dan selamanya, beliau mampu melakukan sesuatu untuk orang Melayu di dalam negara ini.

Nyatalah, kita hanya boleh merancang tetapi ketentuan dari ALLAH adalah segalanya. Tanpa hidayah dan petunjuk dariNYA siapalah kita. Bila Tan Sri MMT diberi kepercayaan sebagai menteri maka berkata-kata orang UMNO. ‘Nasib baik Tan Sri MMT tak bertanding dalam pilihanraya kalau tidak tentu dia kalah dan tak akan menjadi Menteri’. Senario ini sangat berbeza ketika dia tidak dicalonkan sebagai calon BN dalam mana-mana kawasan parlimen sebelum ini. Yang ada adalah tuduhan tidak adilnya kepimpinan dalam menentukan calon, termasuk komen saya sebelum ini. (wakil rakyat dipilih oleh poemimpin bukan rakyat)

Kita hidup hanya sekali. Begitu juga peluang untuk meninggalkan sesuatu untuk isi alam ini. Sesiapa yang diberi peluang untuk berjasa kepada Agama Bangsa Dan Negara sudah tentu akan menggunakan sebaik-baiknya sebagai modal tuaian di akhirat. Kalau kesempatan itu menyebabkan seseorang itu takbur dan angkuh takkan ke mana. Saya yakin misi Tan Sri MMT hanyalah untuk menjayakan misi UMNO mengangkat mertabat orang Melayu. Tahniah Tan Sri MMT. Siapa pun takkan dapat memadamkan jasa Tan Sri MMT di Selangor. Walaupun setelah 11 tahun meninggalkan Selangor, jasa dan sumbanganya di Selangor amatlah besar. Semuga Tan Sri cemerlang di KKLW. Selamat Bertugas

Wednesday, March 12, 2008

Kerajaan Melayu Selangor

Tun Mahathir cakap, mereka yang tidak belajar dari sejarah akan didera jika mengulangi kesalahan-kesalahan mereka. Kita sudah tentu tidak ingin mengulangi kesalahan-kesalahan kita di zaman silam. Oleh itu amatlah penting kita mempelajari daripada sejarah kita.
Pada tahun 1511 Kerajaan Melayu Melaka tumbang ke tangan Portugis. Kekalahan ini disebabkan banyak sebab. Zaman sekarang orang tidak berperang untuk menakluk. Orang mengundi je dalam pilihanraya. Syukur pemimpin kita belajar sejarah. Walaupun Melayu hanya tinggal kuasa, pemimpin kita sebelum ini sentiasa berusaha ikhlas dan berjaya mempertahanklan kuasa ni. Begitulah Selangor Darul Ehsan.
Sepanjang tempuh tahun 1964-2004 BN Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar berjaya mendapat mandat sewajarnya dari rakyat dalam pilihanraya. Walaupun begitu Selangor pernah mendapat undi popular hanya 41.5% berbanding 52.9% undi pembangkang dalam pilihanraya 1969. Selepas itu pemimpin besar Selangor (Menteri Besar) bersama pemimpin komponen telah berusaha dengan tulus ikhlas bekerja kuat dan berjaya meyakinkan rakyat. Terbukti selepas itu undi popular BN tidak pernah mencatat undi popular yang tidak majoriti.
Tetapi pilihanraya umum 2008, buat kali keduanya Selangor gagal, apabila mendapat undi popular hanya 45.1% berbanding parti pembangkang. Yang lebih sedihnya Kerajaan Melayu Selangor yang menjadi harapan orang Melayu termasuk Jawa, Banjar, Orang Asli, Minangkabau tumbang di tangan pembangkang. Walaupun Tan Sri Khalid Ibrahim seorang Melayu jadi Menteri Besar tetapi dia kena bagi muka DAP yang terang2 membawa gagasan Malaysian Malaysia.
Kalau dulu, bila Kerajaan Melayu Melaka tumbang ke tangan Portugis, sultan lari ke Pahang. Sekarang Khir Toyo jangan lari. Kena kuatkan semangat hadapi pembangkang tu. Berani ke ?

Tuesday, March 11, 2008

Zakaria Md Deros

Dato Zakaria Md Deros (Abang Zek) menghembuskan nafasnya yang terakhir jam 1.30 pagi 10hb Mac 2008 iaitu sehari selepas Selangor kalah 35 daripada 55 kerusi DUN dan 17 daripada 22 kerusi parlimen kepada pembangkang. Saya difahamkan dia meninggal kerana serangan sakit jantung. Mungkin terlalu keciwa dengan keputusan pilihanraya 2008. Abang Zek (memangggil dirinya sebagai Abang kepada saya) memang dia terlalu sayangkan UMNO ini.
Sebenarnya UMNO umpama sebagai suatu pasokan yang lengkap. Di dalamnya ada kepelbagaian landskap profail dan ciri kepimpinan yang menguntungkan orang Melayu secara umumya. Dato Zakaria memang dikenali macam gangster. Memang betul. Malah UMNO perlu character macam tu, supaya suku kaum lain hormat dengan Melayu dan pegawai kerajaan segan dengan UMNO. Dato Zakaria pernah melempang YB Teng Chang Khim di Dewan Undangan Negeri Selangor apabila berbalah dan cuba mengabaikan sentimen Melayu dan Raja Melayu dalam persidangan. Semasa bertugas membantu jentera pilihanraya Sabah di Tuaran, saya bertugas bersama Dato. Saya rasa senang berkhidmat di bawahnya, walaupun sangat garang jika sesuatu yang tidak disukainya terjadi. Saya pernah lihat seorang petugas jentera di Sabah menangis apabila dimarahi, malah saya terkejut apabila Allahayarham mengejar petugas PBS dengan pistol bila cuba mengahalang Dato Samad Marudin menjalankan tugasnya semasa kempen pilihanraya.
Saya mula mengenali Dato Zakaria dengan dekat semasa mula berkhidmat dengan UMNO Selangor pada tahun 1995. Masa saya melawat persediaan sistem maklumat komputer jentera pilihanraya UMNO Klang, Dato Zek dengan rasa rendah diri minta saya tolong saya bantu. Tolong Abang Dik! Itulah ungkapan seorang pemimpin yang menghargai sumbangan orang. Saya pun sehingga akhir berkhidmat dengan UMNO Selangor sering bantu Dato membantu persediaan bilik gerakan UMNO Klang di bawah kepimpinannya.
Orangnya tidak sombong. Senang didekati. Walaupun saya tidak lagi berkhidmat dengan UMNO Selangor, Dato Zakaria tidak pernah lupa nama saya setiap berjumpa. Malah dia yang nampaknya yang mula menegur saya atau senang bila saya menyapanya. Pagi tadi saya berpeluang menziarahi jenazahnya di Klang. Melaut orang datang. Tak kira orang biasa, pegawai dan pemimpin negara (Dato Najib dan Pak Lah pun hadir) Itu menunjukkan dia disenangi semua peringkat masyarakat. Semuga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah. . .

Monday, March 10, 2008

Wakil Rakyat

Pilihanraya umum 2008 telah berakhir. Pengundi telah menyampaikan mesej mereka dengan terang dan jelas. Merekalah yang berhak memilih wakil rakyat. Bukan pimpinan. Mereka memilih berdasarkan mereka yang dilihat akan berkhidmat untuk rakyat. Mereka bukan memilih wakil parti atau wakil kerajaan.

Keputusan parti mengemukakan calun wakil rakyat yang sama sekali tidak disetujui oleh sebahagian besar rakyat dibalas dengan kekalahan. Di Selangor lihat sahaja kekalahan 35 daripada 55 orang calon Dewan Undangan Negeri dan 17 daripada 22 orang calon Dewan Rakyat calon Barisan Nasional yang dipilih oleh Dr Khir Toyo atau Samy Vellu atau Ong Tee Kiat atau Koh Su Koon.
Semua calon-calon PKR, DAP dan PAS yang tidak disangka-sangka menang dalam piliharaya umum ini mengalahkan calon BN. Sebabnya sangat mudah. Mereka dilihat akan berkhidmat untuk rakyat. Mereka bukan wakil parti atau kerajaan. Mereka nampaknya sanggup ditahan polis dan dipenjarakan kerana kepentingan rakyat. Calon yang dikemukakan oleh Khir Toyo macam tu ke ? Sudah tentu tidak. Berlagak dengan kereta mahal dan convoy mat rempit adalah. Akhirnya rakyat pun naik menyampah. Mereka pun tunjuk kuasa rakyat yang ada pada mereka. Termasuk menukar orang nombor satu negeri, Menteri Besar Selangor. Padan Muka

Tuesday, March 4, 2008

Tasek Gelugor

Semalam saya bersama Dato Zainal Abdin Sakom ke Tasek Gelugor, berceramah membantu calon Barisan Nasional parlimen Tasek Gelugor iaitu Tan Sri Nor Muhamad Yakcop. Ada beberapa pemerhatian saya terhadap beliau sebagai calon.

Pertama tentang dirinya. Seorang teknokrat, pakar kewangan negara yang mempunyai reputasi baik dikalangan 'economist' antarabangsa terutama dalam sistem perbankan Islam. Dari seorang Timbalan Gabenor Bank Pusat menjadi penasihat ekonomi negara akhirnya dibawa masuk sebagai ahli politik yang terlibat dalam dasar dan perlaksanaan dasar kewangan dan ekonomi negara.

Kedua, beliau pernah menyelamatkan negara dari serangan penyangak matawang G.Soros apabila mengikat pertukaran USD:RM kepada RM3.80 sen dan menyelamatkan Malaysia dari terikat dengan Bank Dunia dalam meminjam wang disebabkan ekonomi negara yang merudum.

Ketiga, beliau adalah seorang pemimpin yang mementingkan penguasaan ilmu pengetahuan dikalangan orang Melayu. Berasal dari keluarga miskin, menjadi anak yatim ketika berumar 11 tahun, bersekolah sehingga tingkatan 6 di Butterworth. Mula bekerja hanya sebagai seorang kerani di Bank Negara tetapi berkat kegigihan akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di Belgium.

Akhir sekali, kenapa dia bertanding dalam pilihanraya umum ke 12 kali ini ? Tidak ada sebab lain kecuali untuk beliau kekal dalam karbinet sebagai Menteri Kewangan dan memastikan perancangan koridor ekonomi dilaksanakan dengan berjaya.
Alangkah beruntunglah penduduk Parlimen Tasek Gelugor berbanding masyarakat dari kawasan saya. Mereka bukan sahaja akan dapat seorang ahli parlimen BN tetapi seorang Menteri Kewangan yang akan membawa keamanan, keselamatan dan kemakmuran. Disamping itu dapat seorang pemimpin yang berasal dari keluarga ‘typical Malay’ iaitu orang yang sentiasa insaf apa erti kemiskinan dikalangan orang Melayu.
Gombak suatu ketika beruntung sebab dapat ahli parlimen dari kalangan Menteri. Tapi kali ini dapat apa ?

Thursday, February 21, 2008

Wakil Rakyat (UMNO)

Sekarang orang sibuk cakap pasal calon pilihanraya, jadi saya nak discuss macam mana wakil rakyat UMNO dipilih oleh rakyat. Jawapannya, mereka dipilih oleh pengundi melalui proses pilihanraya. Tapi macam mana calon UMNO itu dilantik bagi mewakili Barisan Nasional. Amalan sekarang Presiden partilah yang melantik mereka setelah menerima perakuan Pengerusi UMNO Negeri.

Pertama, macam mana Presiden parti nak lantik calon yang layak ? Apakah benchmark yang digunakannya. Sudah tentu jawapannya, prestasi yang baik, bekerja untuk rakyat, dedikasi, tidak rasuah, berilmu, rekod perkhidmatan yang cemerlang, sentiasa menyokong dasar dan kepimpinannya, diterima baik diperingkat pimpinan parti akar-umbi dan pengundi dan banyak lagi. Betul ke ? Kalau betul apa sumber maklumat beliau. Cukup ke dari mulut Pengerusi UMNO Negeri. Tidak, sudah tentu ada sumber-sumber lain.

Kedua, apa pula kriteria Pengerusi UMNO Negeri untuk dia melantik atau memperakukan seseorang itu sebagai calon wakil rakyat UMNO ? Jawapan yang akan diberi sudah tentu konsisten dengan tanda-aras Presiden ditambah dengan seseorang itu mesti menyokong kepimpinannya untuk mempertahankan kepimpinannya di negeri.

Tan Sri Muhammad bin Taib, Ketua Penerangan UMNO yang bekerja tak kira masa. Walaupun tanpa sebarang jawatan kerajaan namun semua orang UMNO tahu taatnya beliau kepada parti. Betapa dia dipandang sebagai pemimpin berjiwa besar apabila memberi teladan yang baik kepada ahli UMNO. Walaupun tidak dicalon dalam pilihanraya 2004, dia tidak langsung menunjukkan rasa keciwa tetapi sebaliknya terus memberi inspirasi kepada ahli UMNO supaya fikirkan apa yang boleh disumbangkan kepada parti daripada memikirkan sebaliknya. Dalam pilihanraya 2008 ini, dia tidak dicalonkan juga walaupun telah dijanjikan. Memang dia tidak keciwa, tetapi ramai orang yang mencintai UMNO sebagai parti yang memertabatkan bangsa Melayu seperti saya sangat keciwa. Sebab saya yakin Tan Sri Muhammmad Muhd Taib mampu mengangkat mertabat orang Melayu jika dia diberi peluang, berbanding dengan sebahagian mereka yang dilantik oleh Presiden dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Dato Zainal Abidin Hj Sakom bekas wakil rakyat N07 Batang Kali juga tidak dicalonkan semula dalam pilihanraya ke 12. Semua pengundi dan pimpinan UMNO tahu bagaimana dia bekerja berkhidmat untuk parti dan rakyat. Tanya orang Cina dan India di kawasannya, mereka akan membenarkan kenyataan saya ini. Apatah lagi menjelajah ke seluruh negara membawa gagasan Presiden tentang Islam Hadhari. Saya selalu bersama beliau ke merata pelusuk kawasan. Siapa sahaja yang menjemput beliau walau di mana dia akan tetap sampai. Tanya siapa sahaja yang mengikuti ceramah beliau akan berpuas hati dengan penjelasannya. Sampai sekarang saya masih tak faham apa kekurangan dan kesalahan dia yang menyebabkan dia tidak dicalonkan semula. Kalau ditanya siapa sahaja pengundi di kawasannya atau pemerhati mereka pasti memilih Dato Zainal Abidin Hj Sakom sebagai calon BN di N07 Batang Kali. Tapi apa boleh buat sebab calon dilantik oleh Presiden dan Pengerusi UMNO Negeri bukan dipilih rakyat.

Kita kena memilih calon yang tepat. Tapi macam mana nak pilih bila kita tidak diberi pilihan. Atau Presiden dan Pengerusi UMNO Negeri melantik calon UMNO bukan berdasarkan kriteria yang dinyatakan. Rakyat selalu disumbatkan kenyataan retorik supaya berfikir rasional, akur dengan kepimpinan dan sentiasa keletakkan kepentingan parti melebihi dari segalanya. Tapi pemimpin dia cakap ikut sedap mulut je. Bila dia buat keputusan rasional ke ? Ada kah mereka ni dengar rintihan rakyat ? Atau keputusan mereka adalah kepentingan parti atau pentingkan diri je.

Sebenarnya, wakil rakyat UMNO dilantik oleh Presiden dan Pengerusi UMNO je, bukan dipilih oleh rakyat.

Tuesday, January 15, 2008

Faizal Tahir

Saya sangat meluat dan nak muntah bila tengok artis (baru) Faizal Tahir yang membuka bajunya bila membuat persembahan menerusi 8TV pada Ahad yang lalu. Sebab tak ada mesej lain, apabila seseorang membuka baju selain mesej seksi dan keghairahan. Menyampaikan mesej seksi bukan budaya kita orang Melayu(Islam). Ramai artis yang berjaya tanpa menggunakan kaedah atau pendekatan jahiliyyah itu untuk menarik perhatian peminat. Saya bangga dengan setengah artis yang mempunyai jati-diri kuat dan berpegang dan bertunjangkan akar Melayu(Islam). Bukan yang macam dia. Lepas ini sehingga dia insaf dan bertaubat saya panggil dia ARTIS TAK MALU.
Saya tidak menafikan peranan hiburan dalam kehidupan (asalkan tidak melalaikan, mungkin terlalu idealistik) tetapi hiburan yang tidak lansung membawa mesej untuk memperkasakan budaya atau hiburan yang lansung tidak membawa sebagai mesej positif, samalah dengan hiburan zaman jahilliyah. Bagi saya hiburan tetap menjadi instrumen penting dalam kita mengisi kehidupan. Ini bermakna mereka yang terlibat dengan dunia hiburan iaitu artis sangat besar sumbangannya.
Sekarang orang Melayu sibuk cakap bagaimana kita dapat membangunkan modal insan. Bagaimana pentingnya pengisian budaya ke arah kecemerlangan dan kegemilangan bagi memboleh bangsa Melayu menjadi terbilang. Ini tidak terkecuali dalam dunia hiburan. Hiburan dan artis perlu memainkan peranan ke arah itu.
Apa yang ARTIS TAK MALU cuba nak sampaikan melalui tindakannya membuka baju tu. Adakah dia terlalu menjiwai lagu tersebut sehingga tergamak bertindak macam artis barat. Atau jiwanya yang sangat kosong dan lohong langsung tak tahu malu dan segan dalam prespektif orang Melayu(Islam). Atau memang ARTIS TAK MALU. Kenapa tak buka seluar tu.
Saya sebenarnya menyuarakan rasa marah saya kepada ARTIS TAK MALU Faizal Tahir ni. Jadi ada lebih saya gunakan bahasa yang mudah difahami sahaja. Bagi saya ARTIS TAK MALU ini mempunyai kesedaran emosi dan spiritual yang sangat rendah dalam kerangka dan prespektif Islam. Dia tak tahu akibatnya bila dia bertindak macam tu terhadap generasi Melayu yang meminatinya. Dia macam tak peduli apa orang kata. Mulai sekarang saya akan berkempen kepada anak-anak saya dan anak-anak saudara saya supaya boikot ARTIS TAK MALU ni.
Saya nak beritahu ARTIS TAK MALU ini. Dia bukan saja jual lagu atau menghibur sahaja. Tetapi jauh dari itu. ARTIS TAK MALU ini dan juga artis lain perlu ada rasa jati-diri terhadap bangsanya. Selain dapat duit menghibur lepas tu apa ? OK lah glamour lepas tu apa? Menyumbang ke arah membina suatu jenarasi Melayu yang berjaya dan menjadi icon yang baik.
Saya cuma nak cadang kepada semua TV swasta. Haramkan penampilan ARTIS TAK MALU ini, sehingga minta maaf dengan orang Melayu(ISLAM). Sebab SAYA SANGAT MALU tengok artis macam ini.