Wednesday, January 14, 2009

Maimunah Buyok (Mak Teh)

Pada hari Sabtu 10/1/2009 saya dan keluarga berkesempatan menziarah Mak Teh saya di Selayang. Namanya Maimunah bt Buyok, berumur sekitar 75 tahun. Selama ini dia sentiasa nampak sihat, tapi kebelakangan ini selalu mengadu sakit-sakit dan kesukaran bergerak. Dia selalu beritahu saya nikmat hidupnya sedikit-sedikit mula diambil oleh Yang Maha Esa. Tapi Mak Teh saya ini special, dalam keadaan apapun dia selalu bergurau dan tak lupa sembahyang.
Sebagai anak saudara, menziarahi mak saudara memanglah dituntut, sebab ia boleh membawa kita kepada keinsafan dan mengingatkan kita akan kebesaran Allah. Tapi emak saudara yang menerima kunjungan anak saudara, saya agak mereka sangat berbesar hati dan berasa sangat teruja. Dia sangat gembira kerana kita mengingatinya apatah lagi ketika umurnya di hujung kehidupannya. Ini adalah kali kedua saya menziarahi. Dan bila balik, kami akan diiringi dengan tangisan perpisahan.
Sebagai orang tua, setiap perbualan dengannya akan merungkai sejarah dan peristiwa silam. Tak kira 'good or bad story or even ugly one'. Sebab dia tak ada kepentingan dalam setiap plot ceritanya. Dia tak perlu jaga hati sesiapa pun. Dia pun tak nak bawa cerita tu ke alam kubur nanti. Apa yang penting semua dikeluarkan bila ada kesempatan bersembang dengannya. Seronok jugak.

Tuesday, January 13, 2009

Pak Ngah Tukang Gali Kubur Selayang.

Seorang kawan lama saya yang saya kenali 15 tahun yang lalu datang berjumpa saya petang tadi. Tujuannya adalah untuk membawa 'living testimonial' kes kehidupan seorang tukang gali kubur di Selayang yang hidup serba daif dan kekurangan, Pak Ngah gelarannya. Berumur 82 tahun nampaknya berasal dari utara. Badannya kurus nampak sihat tetapi tangannya penuh dengan urat dan kedut-kedut. Menurutnya setelah 25 tahun dia berkhidmat dengan Masjid Selayang di bawah 5 orang nazir dan bertanggungjawab menggali kubur di tanah perkuburan Selayang dia masih tidak mempunyai rumah sendiri kecuali menetap di sebuah pondok di atas tanah kubur.
Hairan juga mendengar cerita Pak Ngah tu. Di Selangor yang dikatakan negeri maju mana ada orang tak ada rumah. Kerajaan negeri Selangor membelanjakan berjuta ringgit untuk memastikan rakyatnya mempunyai tempat berlindung yang selesa di bawah program Kerajaan PRIHATIN. Tapi nampaknya Pak Ngah masih berlindung dalam pondok di atas tanah kubur. Saya terus membantu dengan menghubungi Lembaga Zakat Selangor dan merujuk kes ini. Saya tak nampak sebarang masalah untuk Lembaga Zakat Selangor menyelesaikan masalah ini. Tapi yang saya hairan, kenapa masih ada kes macam ini. Pak Ngah berkata, setiap kali menghadapi pilihanraya dia akan dijanjikan rumah. Menurutnya lagi janganlah bila dia mati baru nak bagi rumah. Dia perlukan rumah untuk baki sisa hidupnya yang sedikit ini.

Sunday, January 11, 2009

Nor'aini Awab @ Alias

Nor'aini Awab@Alias, seorang pensyarah di Kolej Profesional MARA Indera Mahkota Pahang. Dia menghubungi saya pada hari Jumaat 8/1/2009. Peranan beliau mudah tetapi cara beliau menjalankan tugasnya sangat berhemah dan sangat menyenangkan. Walaupun saya tak pernah jumpa orangnya tetapi setiap perkataan yang disampaikan kepada saya, saya dapat rasakan keikhlasannya. Akhirnya dia benar-benar membantu saya membuat keputusan penting tentang masa depan anak saya.
Begini ceritanya. Sebagai seorang pensyarah kepada anak saya di Kolej Professional MARA Indera Mahkota Pahang, dia bertanggungjawab memaklumkan kepada ibu-bapa prestasi anaknya yang belajar di kolej. Dalam kes saya ini, dia benar-benar telah membantu saya membuat keputusan. Tanggungjawabnya memaklumkan prospek dan potensi anak saya cukup mudah saya faham. Penyampaiannya yang ikhlas tanpa sebarang prejudis dan elemen cuba menghukum apatahlah melabel. Tak ramai orang macam ini. Saya rasa bangga berpeluang berurusan dengan orang yang macam ini. Dia memudahkan dan membantu. Mungkin dia memang mempunyai kebolehan menyampaikan dengan baik. Saya hanya ingin menggunakan platform blog ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Nor'aini Awab @ Alias kerana membantu saya menyelesaikan masalah anak saya di KPM Indera Mahkota. Saya berharap apa yang telah dilakukan kepada saya akan dihisab sebagai pahala oleh ALLAH swt. Saya juga mahu orang lain tahu kebaikan yang dilakukannya kepada saya dan anak saya. TERIMA KASIH Puan Nor'aini Awab @ Alias

Monday, January 5, 2009

Pilihanraya Kecil (Kuala Terengganu)

Tahun 1986 calon BN, Zubir Embong mendapat 39.4% undi (19,139) mengatasi PAS, Mustafa Ali yang hanya mendapat 32.5% undi (15,815). Tetapi pada pada tahun 1990 calon pembangkang pula mengatasi BN apabila calonnya S46 (Dato Manan Othman) mendapat 38.6% undi (21,310) menewaskan calon BN (Zubir Embong) yang hanya mendapat 35.2% undi (19,430)
Dalam PRU-9(1995) calon BN pula mengatasi calon PAS apabila Dato Abu Bakar Daud mendapat 40.9% undi (25,624) berbanding calon S46 Dato Manan Othman yang hanya mendapat 33.2% undi (20,772). Tetapi keputusan dalam PRU-10 (1999) pembangkang kembali merampas carta apabila calon PAS, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendapat 49.4% undi (31,580) berbanding calon BN Dato Abu Bakar Daud yang hanya mendapat 26.8% undi (17,132)
Tetapi dalam PRU-11 (2004) calon BN Dato Razali Ismail merampas kembali kerusi apabila mendapat 42.9% undi (30,994) mengatasi 'incumbent' PAS, Ayed Azman Syed Ahmad Nawawi yang hanya mendapat 40.2% undi (29,061). Malah dalam PRU-12 (2008) Dato Razali Ismail tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mempertahankan reputasi BN apabila mengekalkan kerusi apabila mendapat 40.5% undi (32,562) mengatasi calon PAS, Muhamad Sabu yang hanya mendapat 39.8% undi (31,934) dan calon BEBAS Mak Cik Mon, yang mendapat 685 undi.
Kali ini, boleh ke Dato Wan Farid mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang silih berganti bertukar tangan sejak 1986 kecuali 2004 dan 2008. Jawapannya BOLEH jika jentera BN kerja kuat. SELAMAT BERJAYA BRO

Sunday, January 4, 2009

Wan Farid Wan Salleh

Calon Barisan Nasional (BN), Dato Wan Farid Wan Salleh, merupakan calon yang paling layak dan sesuai, jika mengambil kira wakil UMNO parlimen tersebut. Sebagai Ketua UMNO Bahagian beliau berupaya menggerakkan jentera BN dengan komitmen sepenuhnya. Dan sebagai parti yang memerintah sekarang, dia akan mendapat sokongan padu YAB Menteri Besar. BN sudah tentu tidak punya banyak kelebihan kali ini.
PAS pula meletakkan Abdul Wahid Endut YDP PAS Kuala Terengganu yang juga wakil rakyat ADUN Wakaf Mempelam sejak 1990. Dia juga merupakan calon yang tidak kurang hebatnya. Sebagai parti PAS yang pernah memerintah Terengganu 2000-2004, PAS tidak akan ada masalah untuk menjual calon mereka kepada rakyat Terengganu.
Semasa PRU-2008 yang lepas Abdul Wahid Endut tidak bertanding parlimen sebab dia bertanding dan menang dengan undi 9,645 undi kerusi DUN Wakaf Mempelam yang dimenangi sejak 1990. Tapi kenapa BN diwakili oleh Allahyarham Dato Razali Ismail walaupun menang dengan undi 32,562 undi. Kalau kira mudah Dato Wan Farid Wan Salleh, saya rasa tak ada masalah untuk menang. Tapi pilihanraya kecil Kuala Terengganu TIDAK AKAN JADI macam tu. Dato Wan Farid Wan Salleh memang kena kerja kuat. Orang UMNO memang kenal dia. Tapi yang memenangkan calon adalah rakyat bukan ahli UMNO. Jadi sekarang dia kena yakinkan seluruh pengundi Kuala Terenganu bahawa dia adalah pilihan terbaik. SELAMAT BERJUANG BRO.

Saturday, January 3, 2009

Allahyarham Dato Razali Ismail

Pilihanraya Kecil P036 K.Terengganu 17hb Jan 2009 akan datang bukan sahaja suatu manifestasi Malaysia yang mengamalkan kebebasan berpolitik. Kebebasan rakyat untuk memilih dan dipilih sebagai sebahagian proses menentukan kuasa legislative dalam negara. Pilihanraya Kecil P036 K.Terengganu 17hb Jan 2009 bukan sekadar usaha satu kelompok memastikan UMNO atau Barisan Nasional berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi atau peluang PAS merampas kembali dan mengukuhkan 'bargaining-power' dalam PAKATAN RAKYAT seterusnya mempertahankan sebagai parti pembangkang dalam parlimen. Pilihanaraya Kecil P036 K. Terengganu bukan sahaja peluang rakyat K.Terengganu menuntut segala macam desakan yang menyebabkan Kerajaan Pusat Barisan Nasional terpaksa korbankan prinsip demi untuk politik. Malah Pilihanraya Kecil P036 K.Terengganu BUKAN sekadar platform merungkai dan menyelesaikan segala macam masalah sosio-ekonomi setempat yang bersifat semasa.
Pilihanraya Kecil P036 K.Terengganu adalah sebahagian proses pembinaan suatu bangsa Malaysia. Untuk memastikan bangsa Melayu berjaya seperti bangsa-bangsa lain di seluruh dunia, kita perlukan lanskap politik yang kondusif. Kita mahu kerajaan yang stabil dan sentiasa merancang masa depan bangsanya. Untuk memastikan bangsa Malaysia adalah bangsa maju kita perlu suatu pakatan politik yang pragmatik dan berkesan. Kita perlukan suatu kesatuan antara inspirasi rakyat dan dasar pemerintah.
Sekarang pengundi K.Terengganu bertanggungjawab dalam menjayakan proses pembinaan bangsa Malaysia ini. Kita sudah lama tertinggal akibat penjajahan selama 440 tahun. Kita tidak mampu sebarang usaha yang melambatkan pembinaan suatu bangsa Melayu yang berjaya. Kita dalam perjalanan yang betul sekarang. Pengundi K. Terengganu anda mampu menjayakannya. Allahyarham Datuk Razali Ismail telah melakukan apa yang patut. Sedekahkan Al-FATIHAH untuknya.

Thursday, January 1, 2009

Abdul Rahim Zulhairy

Hari ini hari orientasi sekolah Abdul Rahim anak saya yang ke 4. Dia mendaftar sebagai murid Tahun 1 Sekolah Rendah Kebangsaan Seksyen 6 Shah Alam. Melihat gelagat pelajar, terkenang saya semasa mendaftar sebagai murid Darjah 1 Sekolah Rendah Kebangsaan Gombak Setia pada tahun 1967. Yang saya ingat hari tu saya ditemani oleh emak saya. Kami jalan kaki hampir 1.6 km (1 batu) dalam hujan (ada payung, bukan macam drama atau filem Melayu sekarang tiap kali hujan tak berpayung). Selainnya saya dah lupa.
Tapi pagi ini Abdul Rahim dihantar oleh emaknya dengan kereta. Saya menyusul sejam kemudian. Sepanjang pengamatan saya, daripada semua 25 orang murid dalam kelas anak saya, saya tengok mereka gembira dan tak rasa takut malah nampaknya begitu teruja. Walaupun baru kali pertama berjumpa, mereka sangat asyik bersembang pasal Naruto, Bi-Daman, Ultraman dan Sponge Bob. Begitulah bersih hati mereka. Langsung tak ada nak mengata apatah lagi mengutuk sesiapa pun.
Tapi senario berbeza dengan ibu-bapa yang mengiringi mereka. Kedengaran ada kalangan mereka yang mengata ce' gu tu memuji ce' gu ni, mengata sekolah tu, memuji sekolah ni. Malah dah mula complaint itu complaint ini. . . Saya perhati je. Cuma yang kurangnya saya rasa perlu majlis simbolik penyerahan anak oleh ibu-bapa kepada guru. Baru kita mengangkat institusi guru dan sekolah tu pada tempatnya.