Monday, March 30, 2009

Tan Sri Muhyidin Yassin

Siapa sebenarnya yang memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai Timbalan Presiden UMNO baru-baru ini. Jawapannya sudah tentu perwakilan seramai 1,575 orang sedangkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib (TSMT) hanya menjadi pilihan kepada 938 orang perwakilan sahaja.
Apa dan siapakah yang mempengaruhi 1,575 orang memilih TSMY dan menggerakkan hati 938 orang memilih TSMT. Apakah faktor yang menyebabkan TSMY lebih menarik minat perwakilan berbanding TSMT? Dato Fuad Hassan bekas wakil rakyat Hulu Klang Selangor mengulas dalam program 'Kerusi Panas' Radio 24 pilihlah pemimpin kerana wawasan dan kepimpinannya dan bukan hubungan baiknya. Kenyataan itu bagi saya, tidak lebih dari permintaannya dan bukan pengamatannya yang berlandaskan kajian.
Untuk memahami bagaimana pemilihan Timbalan Presiden UMNO, saya berikan analogi bagaimana kepimpinan UMNO Bahagian dan Cawangan dilaksanakan. Kepimpinan UMNO sering ditentukan hanya 1) Pengaruh 2) Kempen/lobi 3) Signal pemimpin 4) Kepimpinannya 5) Hubungan baiknya atau PR 6) Sifat pemurahnya dan 7)Rasuah politik atau politik wang (Jika ada orang tidak bersetuju dengan pandangan saya saya minta maaf)
Jadi apakah yang menyebabkan TSMY berjaya mengatasi TSMT. 1) Adakah wujudnya pengaruh (media atau jentera yang tersusun) atau 2) Siri kempen dan lobi yang sangat berkesan atau 3) Signal Presiden atau bekas-bekas Presiden atau bekas pemimpin UMNO lain atau 4) Kepimpinannya atau 5) Sifat peramahnya dengan ahli UMNO sebelum ini 6) Sifat pemurahnya dan ramai yang telah dibantu atau 7) Rasuah politik atau politik wang ? (Tapi ini tidak mungkin sebab dia seorang pemimpin yang berintegriti)
Saya tak kenal TSMY dan saya bukan perwakilan. Tetapi kalau saya perwakilan saya pilih TSMT di atas sebab yang pernah saya nyatakan sebelum ini.

Thursday, March 12, 2009

Norliza bt Rahmat

Dia ni sepupu saya, masa kecil dulu saya panggil dia adik je. Berumur lebih 40 tahun. Dah ada 5 orang anak yang berumur antara 6-20 tahun. Tapi pada 28/2/2009 lepas dia telah mencipta sejarah di kalangan saudara sebelah emak saya. Apa tidaknya. Dia bernikah (selepas hampir 3 tahun bercerai) dengan seorang jejaka bujang pilihannya yang berumur sekitar 30an. Yang untung lelaki ni kahwin terus dapat 5 orang anak.
Saya nak kata Norliza ni kira terror lah. Semua sanak saudara baik sebelah lelaki maupun sedara sebelah pengantin perempuan (termasuk saya) meraikan perkahwinan dia di salah sebuah restauran di Ibu Kota. SELAMAT PENGANTIN BARU (LAMA) NORLIZA (ADIK)

Thursday, March 5, 2009

Ahli UMNO Selangor

Iklim politik sekarang menuntut semua ahli UMNO Selangor mempunyai jatidiri yang tinggi. Ahli UMNO Selangor semua peringkat di semua 22 bahagian di Selangor perlu bersatu menghadapi saingan politik mereka iaitu PKR, PAS dan DAP. Kepimpinan UMNO Selangor mesti berjuang hingga ke titisan darah terakhir merampas kembali Selangor dari PKR. Orang UMNO Selangor tidak lagi boleh terlalu asyik berpolitiking sesama mereka.
Tapi boleh kah mereka bertahan apabila tidak lagi dapat peluang berniaga dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Sebab semua orang tahu tahu kepimpinan UMNO sekarang majoritinya terdiri dari usahawan dan kontraktor yang mencari makan dengan kerajaan. Kecuali peluang berniaga dengan kerajaan persekutuan, peluang dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan nampaknya tertutup rapat. Malah ada dari kalangan kepimpinan UMNO telah mengistihar sebagai ahli PAS atau PKR demi menjaga kelansungan perniagaan mereka.
Boleh ke kepimpinan UMNO Bahagian di seluruh 22 bahagian bersatu, dengan visi merampas Selangor. Tapi apakah misi mereka untuk mencapai visi tu. Ya, saya berpendapat misi mereka adalah memenangkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Timbalan Presiden UMNO demi mencapai visi tersebut. Ia sangat murni dan semua kepimpinan UMNO Bahagian di Selangor akan bersetuju. Tapi bersediakah mereka menzahirkan dengan tindakan sewajarnya.
Kalau mereka tak mampu melakukannya. Alamat bertambah ramai ahli UMNO di Selangor akan tukar baju lepas ni. Sebab kepada ahli UMNO, menjadi ahli politik pembangkang sangat pedih dan menyiksakan.

Monday, March 2, 2009

Tan Sri Muhammad Muhd Taib

Persepsi manusia tentang sesuatu isu sentiasa berubah mengikut masa dan keperluan. Kecuali kepimpinan sepanjang zaman Rasulullah, keputusan manusia juga menngikut zaman dan lanskap pemerintahan. Misalnya Tunku melepaskan Singapura dan Malaysia dalam 1964. Masa itu, Allahyarham merasakan ia wajar, walaupun terlalu berat keputusan mengeluarkan Lee Kuan Yew. Namun masa tu ia adalah untuk kepentingan politik dan bangsa Melayu. Jika tidak, mungkin kita senasib dengan orang Melayu Singapura sekarang.
Begitu juga kenapa UMNO memilih Tun Abdul Rahman dan tidak Mustafa Hussain sebagai Yang DiPertua UMNO selepas Dato Onn Jaafar pada tahun 1951. Memang ada faktor lain tapi, Tunku mendapat sokongan Istana dan masa itu sokongan istana sangat diperlukan. Begitu juga kenapa Tun Mahathir diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bukan Tunku Razaleigh. Walhal sebagai Naib Presiden UMNO, Ku Li lebih senior ketika itu. Sebabnya masa tu UMNO lebih memerlukan kepimpinan Tun Mahathir dan bukan Ku Li. Malah kenapa Allahyarham Sultan Selangor bersetuju melepaskan Kuala Lumpur. Sebab demi kepentingan politik Melayu masa tu.
Sekarang, UMNO perlu buat keputusan samada nak memlih Muhyiddin Yassin atau Ali Rustam atau Muhammad Muhd Taib sebagai Timbalan Presiden. Kalau beri kuasa kepada Dato Seri Mohd Najib, dia tahu siapa yang perlu diangkat sekarang. Siapa yang patut jadi orang No 2 semasa UMNO sedang menghadapi sindrom keyakinan rakyat. Semasa 4 negeri jatuh kepada pakatan pembangkang. Masa BN kehilangan majoriti 2/3 di parlimen. Masa bangsa lain dah mula kurang ajar dengan orang Melayu dan kesultanan Raja Melayu. Dan yang paling penting masa Selangor, negeri di mana pertumbuhan KDNK paling pesat berlaku hilang ke tangan pakatan pembangkang. Hilang Selangor macam kehilangan Malaysia sebahagian besarnya.
Saya fikir kalau UMNO nak menawan semula keyakinan rakyat dan mahu disusun semula supaya lebih dinamik dan lebih relevan, untuk merampas kembali negeri yang kalah, kalau UMNO nak dapat semula majoriti 2/3 di parlimen. Dan yang paling penting kalau nak UMNO merampas semula Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mesti diberi peluang sebagai Timbalan Presiden UMNO. Sebab dalam iklim politik sekarang, itulah yang diperlukan UMNO. Seorang pemimpin akar umbi yang sentiasa dekat dengan rakyat iaitu Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Sunday, March 1, 2009

Abdul Rahim Yaakob

July 1979 saya mendaftar masuk universiti. (Universiti Sains Malaysia) Salah seorang kenalan sepanjang sesi suaikenal dan tahun pertama ialah seorang budak KL dari Victoria Institution, Abdul Rahim Yaakub namanya. Ada juga masa bincang semasa pendaftaran subjek saya hampir nak ikut dia major dalam Chemistry. Malah pada semester pertama saya ambil paper chemistry sama dengan dia. Tapi akhirnya 2nd year saya decided major dalam Mathematic (Statistic).
Dia meneruskan pengajiannya dalam Chemistry. Dia minor dalam management sama dengan saya. Dia budak yang baik dan berdisiplin, walaupun band boy dan pandai nyanyi. Lagu favourite dia bunyi gitar lagu The Blues Gang.
Tahun 1993 saya jumpa dia lagi di UTM. Masa tu kami ambil peperiksaan Ujian English untuk pra-syarat melanjutkan pelajaran ke eringkat sarjana. JPA memang syaratkan semua kakitangan awam yang berminat melanjutkan pelajaran dan ditaja kerajaan mesti capai suatu tahap kelulusan Ujian English JPA. Masa tu saya tanya dia kerja mana. Dia kata Jabatan Kimia. Lepas tu tak jumpa dia lagi.
Hari Rabu 26/2/2009 saya baca Utusan Malaysia dalam ruang Mega, saya terbaca artikel pasal Sains Forensiik. Terkejut, bila saya terbaca Prof Madya Dr. title dia sekarang dan bertugas sebagai Ketua Jabatan Kimia UTM. Tahniah Rahim. Jangan lupa bunyi guitar.

Tuesday, January 27, 2009

Dato Nasarudin Hashim

Dato Nasarudin Hashim, ADUN Bota masuk PKR setelah sekian lama berkhidmat sebagai ADUN dan Ahli Parlimen di bawah parti UMNO atau BN. Kenapa Dato Nasarudin lompat parti? Sebenarnya dia yang tahu jawapan sebenar walaupun dia boleh bagi 1001 alasan.
Katanya (1) dia amat yakin dengan kepimpinan PKR, (2) dia yakin PKR akan tetap menjunjung dan menghormati peruntukkan Perlembagaan Persekutuan, (3) dia percaya permuafakatan PKR mampu mengurus dengan negara dengan baik dan (4) membolehkan dia menjadi ADUN yang lebih berkesan dan memberi khidmat terbaik kepada penduduk setempat.
Saya tak kenal Dato Nasarudin. Dan saya tidak bercadang membuat sebarang analogi tentang lompatannya. Tapi saya rasa dia jugak macam ahli politik yang lain. Orang politik bijak berpidato dan berhujah. Itu kelebihan mereka. Saya percaya semasa berkempen di atas tiket BN dia beri alasan yang sama (1) kepimpinan BN adalah yang terbaik, (2) BN adalah parti yang mengangkat kedaulatan perlembagaan dan undang-undang dan (3) permuafakatan BN mampu mentadbir negara. Itu dulu. Sekarang iklim politik dah berubah agaknya. Dia kena cari jawapan yang sesuai dengan masanya. Dan yang paling penting sesuai dengan kepentingan politiknya.
Tetapi alasan yang (4) saya pun setuju. Yang itu dia tak cakap politik. Dia cakap demi kepentingan pengundi dia.

Friday, January 23, 2009

Dr Hassan Ali

Hari ini saya sembahyang jumaat kat Masjid Al-Hidayah SS3 Kelana Jaya. Bila khatib memulakan khutbahnya merasakan biasa mendengar suaranya. Akhirnya saya sedar Dr Hassan Ali, EXCO Agama Kerajaan Negeri Selangor yang juga merangkap Yang DiPertua PAS Negeri Selangor sedang membaca khutbah.
Saya manusia biasa. Sepanjang mendengar khutbahnya yang baik dan jelas perkataan, saya terganggu mengingatkan Dr. Hassan Ali juga seorang ahli politik. Memang saya prejudis dengan apa yang disampaikannya. Dia bercakap pasal kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Katanya, selama ini tiada siapa yang ingatkan kita bahawa kita bertanggungjawab menjaga Agama Allah. Kerajaan hanya mementingkan kejayaan dunia dan meninggalkan akhirat. Walau kita berjaya menjadi doktor pakar, jurutera atau pengurus kilang yang mempunyai beratus pekerja tidak ada gunanya di akhirat nanti. Sebab yang ditanya Allah adalah apakah jihad kita untuk Agama sepanjang kita hidup di dunia ini. Dia mengajak jemaah buka minda dan kembali kepada sistem Islam. Sistem sekarang tidak Islam, tidak mementingkan aqidah dan syariah. Sistem pendidikan sekarang adalah sekular dan mengabaikan akhirat.
Saya setuju kita mesti menjadi khalifah di atas muka bumi ini dan memberi rahmat kepada sekian alam. Saya juga setuju kerosakan dan kepincangan akhlak yang berlaku sekarang. Tapi saya tidak setuju apa yang dibuat kerajaan lansung tidak mempertingkatkan taqwa kepada Allah. Usaha kerajaan melahirkan ramai orang Melayu (Islam) berjaya jadi doktor pakar membantu menyelamatkan nyawa supaya orang boleh terus beribadat bukankah jihad namanya. Jadi pengurus kepada beribu orang supaya dapat makan bagi anak bini makan bukankah jihad namanya. Termasuk usaha kerajaan membantu ramai orang Melayu dapat PHd supaya kaum Melayu juga setaraf dengan bangsa lain di dunia ini. Saya rasa loya bila dia berkhutbah mengatakan usaha kerajaan yang tidak Islamik, sedangkan dia pun bermula dari sistem pendidikan kerajaan ini. Dia langsung tidak menghargai jasa pemimpin terdahulu yang berjuang mengangkat mertabat Islam di negara ini. Dr Hassan Ali membaca khutbah macam ceramah politik, ada muslihat politik dan berkepentingan poilitik PAS sahaja. Sebab apa saya prejudis?, Sebab dia adalah Naib Presiden PAS. (Tak kisahlah kalau ada orang tak setuju atau sanggah pandangan saya ini)