Thursday, January 22, 2009

Abang Dollah & Kak Normi

Abang Dollah dan Kak Normi adalah sepasang suami isteri. Berumur sekitar 65-70 tahun. Sepupu saya. Sekarang tinggal jauh dari sanak saudara iaitu di Kg Jeransang Bera, Pahang. Sebelum ini tinggal di Hulu Langat Batu 9, dan rumah mereka merupakan destinasi tetap kami beraya setiap tahun. Mempunyai anak 3 orang semua dah berumah tangga.
Abang Dollah yang saya kenal seorang yang baik hati dan mudah senyum. Saya tak pernah nampak dia marah atau nak marah dengan sesiapa pun. Dari dulu sejak saya kenal dia, hanya mencari rezeki untuk keluarga dan menolong bapa mertua berniaga kedai jika ada kelapangan. Tak pernah cuba nak cari pasal dengan sesiapa pun. Kak Normi pula sepupu saya. Suka bercerita. Senang bersembang dengan dia. Sayangnya anak-anak mereka tak dapat membantu kehidupan mereka sekarang. Kenapa mereka pindah dan bersendirian ke Bera Pahang ? Mereka bukan balik kampong. Tapi, macam bawa diri jauh dari sanak saudara. Tak siapa yang tahu kenapa. Saya pernah menziarah mereka 2 kali sejak dia bawa diri ke Pahang.
Minggu lepas dia datang dengan bas dan bermalam di rumah saya di Shah Alam. Kenapa dia pilih rumah saya ? Saya rasa sebab mereka senang dengan kami sekeluarga. Agaknya itulah sebabnya kita perlu baik dengan siapa pun pada semua ketika di mana pun. Saya ambil kesempatan bawa mereka menziarahi seramai mungkin sanak saudara di sini. Selepas 2 malam di rumah, saya hantar ke rumah anaknya setelah dimintanya.

Sunday, January 18, 2009

Wan Farid Wan Salleh

Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu, calon PAS (Mohd Abdul Wahid Endut) menang apabila mendapat 32,883 undi mengalahkan calon BN Dato Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang hanya mendapat 30,252 undi. Saya rasa pengundi Parlimen Kuala Terengganu memang tahu menggunakan hak dan kuasa mereka sebagai pendaftar. Sejak pilihanraya 1986 lagi kerusi Kuala Terengganu sering saling bertukar tangan antara BN dan PAS/Semangat 46.
Masa sudah berubah. Pengundi sudah tahu hak. Tapi ada jugak orang cakap pengundi nampaknya bertambah mudah terpengaruh dengan dakyah dan momokan anti-kerajaan. Kerajaan pulak gagal menangani tohmahan pembangkang terutamanya melalui internet apatah lagi tuduhan bersifat peribadi.
OKlah saya tak berminat nak cakap pasal tu. Tapi saya cuma nak cakap yang pastinya Dato Wan Ahmad Farid bukan calon popular dikalangan pengundi Kuala Terengganu. Dia hanya pilihan UMNO. Saya pernah cakap yang memenangi calon BN bukan ahli UMNO tetapi rakyat. Maknanya seseorang calon BN pertamanya mesti diterima rakyat. Macam mana nak pastikan semua calon UMNO adalah calon rakyat setempat. Jawapan mudah. Pemimpin UMNO dari Ketua UMNO Cawangan hingga Ketua UMNO Bahagian yang nak dipilih oleh ahli UMNO mestilah orang yang terima oleh rakyat bukan ahli UMNO sahaja.
Yang kedua orang UMNO mesti pengundi di kawasan tersebut. UMNO mesti buat proses pemutihan di mana ahli UMNO yang tidak mengundi di Bahagiannya lebih baik jangan jangan ahli. Sebab dia tidak akan boleh menolong parti untuk menang pilihanraya.

Saturday, January 17, 2009

Abang Buyong

Petang tadi saya menziarah sepupu saya, Abang Buyong (60 tahun). Dah pencen. Rasanya bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Anak-anak (2 lelaki 2 perempuan) semua dah kahwin. Kehidupannya sekarang hanya bersama isteri (macam baru kahwin), collect pencen setiap bulan dan terima kedatangan anak menantu, cucu dan sanak saudara dari masa ke semasa. Tapi oleh kerana dia masih ada masa lapang. Jadi dia ambil upah tolong orang berniaga pasar malam. OK juga ada tambahan pendapatan. Mungkin pengamatan saya salah, tapi kehidupannya saya lihat bahagia bersama isterinya.
Saya tak rapat dengan Abang Buyong ini, Tetapi saya anggap dia dah jadi orang tua dalam keluarga emak saya. Cuma kehadirannya dalam majlis-majlis keluarga tak begitu menyerlah berbanding dengan sepupu yang lain. Dia juga ada masalah tabiat kuat merokok.
Abang Buyong akan raikan sanak saudara yang datang ke rumahnya. Mungkin bila kita masuk warga emas, bila kita dikunjungi sanak saudara kita rasa sangat gembira. Dia juga suka bergurau dengan semua peringkat umur sanak saudaranya. Tetapi dia juga mudah tersinggung dengan anak saudara tidak menunjukkan hormat kepadanya. Saya fikir ini fenomena biasa bila masuk golongan warga emas nanti. Tapi dia juga kuat melatah.

Thursday, January 15, 2009

Abdullah Ahmad

Abdullah bin Ahmad, pangkat Abang saudara saya di Taiping. Berasal dari Melaka. Bekas estet manager di Taiping. Lulusan ITM (1972). Orangnya sangat berpengetahuan tentang pengurusan ladang dan hal-ehwal pertanian, terutamanya tentang kelapa sawit. Kalau dia bercakap tentang kelapa sawit dia memang layak dibayar sebagai penceramah bertauliah dari PORLA atau PORIM. Sekarang berumur 56 tahun. Sudah melepaskan jawatan nya sebagai pengurus estet.
Hubungannya dengan saya baik. Kami sering sependapat dalam isu-isu umum terutamanya hal kekeluargaan. Orangnya saya lihat sangat peramah dan mudah mesra. Begitu juga dengan perhubungan dengan sanak saudara yang lain, saya tak nampak sebarang sebarang masalah sebab dia sangat disenangi.
Tetapi bila saya mula mengenali diri secara dekat sejak 5 tahun kebelakangan, saya dapati dia ada satu masalah besar dalam hidupnya, iaitu menangani masalah diabetes kronik yang dihadapinya. Secara akademik dia selalu bersetuju dengan saya iaitu masalahnya hanya boleh diatasi dengan pendekatan perubatan moden iaitu suntikan insulin. Dia juga bersetuju kegagalan dia mengambil suntikan insulin akan menyebabkan kerosakaan buah pinggangnya dan seterusnya mengundang penyakit lain seperti darah tinggi dan penyakit jantung. Saya sering juga mencadangkan dia mengambil suntikan insulin untuk mengatasi masalahnya. Dia juga selalu bersetuju. . . Sebab itu apa yang dibacanya.
Tetapi tidak kepercayaannya. Dia masih yakin dengan perubatan alternatif termasuk mengambil 'supplimentary'. Petang tadi saya tergesa ke Ipoh apabila diberitahu dia mengalami stroke dan tidak boleh menggerakkan anggota badan dan tidak boleh lagi bercakap. Bila saya jumpa dia tadi, saya tak lagi suruh ambil suntikan insulin tetapi suruh dia bersabar dengan dugaan Allah. Mudah-mudahan dia akan kembali sihat. Bila dia sihat boleh saya sembang dengannya lagi. Seronok sembang dengan dia.

Wednesday, January 14, 2009

Maimunah Buyok (Mak Teh)

Pada hari Sabtu 10/1/2009 saya dan keluarga berkesempatan menziarah Mak Teh saya di Selayang. Namanya Maimunah bt Buyok, berumur sekitar 75 tahun. Selama ini dia sentiasa nampak sihat, tapi kebelakangan ini selalu mengadu sakit-sakit dan kesukaran bergerak. Dia selalu beritahu saya nikmat hidupnya sedikit-sedikit mula diambil oleh Yang Maha Esa. Tapi Mak Teh saya ini special, dalam keadaan apapun dia selalu bergurau dan tak lupa sembahyang.
Sebagai anak saudara, menziarahi mak saudara memanglah dituntut, sebab ia boleh membawa kita kepada keinsafan dan mengingatkan kita akan kebesaran Allah. Tapi emak saudara yang menerima kunjungan anak saudara, saya agak mereka sangat berbesar hati dan berasa sangat teruja. Dia sangat gembira kerana kita mengingatinya apatah lagi ketika umurnya di hujung kehidupannya. Ini adalah kali kedua saya menziarahi. Dan bila balik, kami akan diiringi dengan tangisan perpisahan.
Sebagai orang tua, setiap perbualan dengannya akan merungkai sejarah dan peristiwa silam. Tak kira 'good or bad story or even ugly one'. Sebab dia tak ada kepentingan dalam setiap plot ceritanya. Dia tak perlu jaga hati sesiapa pun. Dia pun tak nak bawa cerita tu ke alam kubur nanti. Apa yang penting semua dikeluarkan bila ada kesempatan bersembang dengannya. Seronok jugak.

Tuesday, January 13, 2009

Pak Ngah Tukang Gali Kubur Selayang.

Seorang kawan lama saya yang saya kenali 15 tahun yang lalu datang berjumpa saya petang tadi. Tujuannya adalah untuk membawa 'living testimonial' kes kehidupan seorang tukang gali kubur di Selayang yang hidup serba daif dan kekurangan, Pak Ngah gelarannya. Berumur 82 tahun nampaknya berasal dari utara. Badannya kurus nampak sihat tetapi tangannya penuh dengan urat dan kedut-kedut. Menurutnya setelah 25 tahun dia berkhidmat dengan Masjid Selayang di bawah 5 orang nazir dan bertanggungjawab menggali kubur di tanah perkuburan Selayang dia masih tidak mempunyai rumah sendiri kecuali menetap di sebuah pondok di atas tanah kubur.
Hairan juga mendengar cerita Pak Ngah tu. Di Selangor yang dikatakan negeri maju mana ada orang tak ada rumah. Kerajaan negeri Selangor membelanjakan berjuta ringgit untuk memastikan rakyatnya mempunyai tempat berlindung yang selesa di bawah program Kerajaan PRIHATIN. Tapi nampaknya Pak Ngah masih berlindung dalam pondok di atas tanah kubur. Saya terus membantu dengan menghubungi Lembaga Zakat Selangor dan merujuk kes ini. Saya tak nampak sebarang masalah untuk Lembaga Zakat Selangor menyelesaikan masalah ini. Tapi yang saya hairan, kenapa masih ada kes macam ini. Pak Ngah berkata, setiap kali menghadapi pilihanraya dia akan dijanjikan rumah. Menurutnya lagi janganlah bila dia mati baru nak bagi rumah. Dia perlukan rumah untuk baki sisa hidupnya yang sedikit ini.

Sunday, January 11, 2009

Nor'aini Awab @ Alias

Nor'aini Awab@Alias, seorang pensyarah di Kolej Profesional MARA Indera Mahkota Pahang. Dia menghubungi saya pada hari Jumaat 8/1/2009. Peranan beliau mudah tetapi cara beliau menjalankan tugasnya sangat berhemah dan sangat menyenangkan. Walaupun saya tak pernah jumpa orangnya tetapi setiap perkataan yang disampaikan kepada saya, saya dapat rasakan keikhlasannya. Akhirnya dia benar-benar membantu saya membuat keputusan penting tentang masa depan anak saya.
Begini ceritanya. Sebagai seorang pensyarah kepada anak saya di Kolej Professional MARA Indera Mahkota Pahang, dia bertanggungjawab memaklumkan kepada ibu-bapa prestasi anaknya yang belajar di kolej. Dalam kes saya ini, dia benar-benar telah membantu saya membuat keputusan. Tanggungjawabnya memaklumkan prospek dan potensi anak saya cukup mudah saya faham. Penyampaiannya yang ikhlas tanpa sebarang prejudis dan elemen cuba menghukum apatahlah melabel. Tak ramai orang macam ini. Saya rasa bangga berpeluang berurusan dengan orang yang macam ini. Dia memudahkan dan membantu. Mungkin dia memang mempunyai kebolehan menyampaikan dengan baik. Saya hanya ingin menggunakan platform blog ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Nor'aini Awab @ Alias kerana membantu saya menyelesaikan masalah anak saya di KPM Indera Mahkota. Saya berharap apa yang telah dilakukan kepada saya akan dihisab sebagai pahala oleh ALLAH swt. Saya juga mahu orang lain tahu kebaikan yang dilakukannya kepada saya dan anak saya. TERIMA KASIH Puan Nor'aini Awab @ Alias