Tuesday, November 4, 2008

Dato Seri Mohd Najib Tun Razak

Apakah tugas pertama Dato Seri Najib Tun Razak apabila secara sah menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri nanti. Maksud saya sebagai pemimpin Melayu disamping pemimpin No.1 Malaysia. Sudah tentu Dato Seri Najib akan membaik-pulih segala kerosakan (jika ada) semasa era Pak Lah dan yang seterusnya menambah-baik dan memperkasa kedudukan orang Melayu hasil peninggalan Allahmarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak dan Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad dan Pak Lah .
Yang pertama, Dato Seri Najib hendaklah meletakkan pemimpin yang layak sahaja sebagai Pengerusi UMNO Negeri. Mereka mesti yang boleh menggunakan kuasa politik bukan setakat ‘politiking’ kalau mahu menyaingi parti pembangkang di dalam negeri tersebut. Kenapa Kelantan masih gagal diurustadbir dengan baik oleh UMNO. Tun Mahathir, Pak Lah pernah menjadi Pengerusi UMNO Negeri dan dibantu oleh pemimpin UMNO Kelantan seperti Anuar Musa, Tok Pa, Awang Adek. Kenapa mereka masih gagal menyusun strategi supaya UMNO berkuasa semula di Kelantan. Sebabnya adalah mereka memang tak layak dan hanya gunakan kuasa eksekutif sahaja. Yang layak ada, tapi dikhuatiri membina empayar kekuatan UMNO di Kelantan dan melawan Presiden UMNO pulak. Tapi bila Idris Jusoh dan Shahidan Kassim berjaya menggunakan kuasa eksekutif dan kuasa politik dan seterusnya menang bergaya di Terengganu dan Perlis kita tewas pulak dengan kehendak istana. Begitu juga Khir Toyo, dia memang gagal mengurus politik Selangor. Akhirnya sebuah kerajaan Melayu tumbang di Selangor selepas peritiswa 1511 di Melaka.
Yang kedua, Dato Seri Najib mesti rombak karbinet supaya hanya pemimpin UMNO yang layak sahaja dilantik sebagai Menteri. Kita tak sanggup melihat lagi menteri yang tunduk kepada desakan NGO, akur dengan kehendak MCA, GERAKAN dan MIC apatahlah parti pembangkang. Kita tak mahu menteri Melayu kita tewas dengan isu-isu Agama, Hak Istimewa Orang Melayu, Bahasa Melayu dan SRJK yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan. Kita tidak mahu Menteri Melayu yang mengumpul kekayaan yang melampau semasa jadi menteri. Kita mahu menteri UMNO ada agenda Melayu dengan jelas yang tidak hanya bergantung dengan perakuan pegawai. Senang je, menteri yang minta pegawai prepare ucapan rasmi memang tak ada wawasan dan agenda. Menteri UMNO mesti faham antara kuasa eksekutif dan kuasa politik

Monday, November 3, 2008

Timbalan Presiden UMNO

Hari ini Presiden UMNO dah sah milik Dato Seri Najib Tun Razak. Tapi siapa Timbalannya. Permintaan akar umbi, keputusan perwakilan UMNO Bahagian dan undi perwakilan ke Perhimpunan Agong UMNO konsisten ke?.
Macam mana nak tahu kehendak akar umbi tentang kepimpinan UMNO. Ada ke sebarang kajian yang ‘credible’ siapa yang paling layak atau popular untuk diangkat sebagai Timbalan Presiden.
Setakat hari ini, permintaan perwakilan UMNO Bahagian menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang popular (79 pencalonan), Dato Seri Mohd Ali Rustam (32 pencalonan), Tan Sri Muhammad Muhd Taihb (29 pencalonan) dan Dato Shahrir Abdul Samad (1 pencalonan)
Tetapi keputusan sebenar iaitu dari perwakilan ke perhimpunan Agong UMNO masih jauh lagi iaitu pada bulan Mac 2009. Adakah mereka (perwakilan) membawa mandat keputusan persidangan UMNO Bahagian. Jawabnya sudah tentu tidak. Masing-masing ada kriteria tersendiri. Apa tu. Sudah tentu banyak. Termasuk siapa yang senang senyum dan ramah.
Jadi siapa agaknya Timbalan Presiden Dato Seri Najib. Saya rasa tidak ada sesiapa pun boleh menentukannya. Tapi Allah dah tentukan siapa yang akan membantu Dato Najib Tun Razak. Janganlah 'stress' sangat. Berdoa je

Sunday, November 2, 2008

Ketuanan Melayu

Apa itu Ketuanan Melayu ? Adakah ia hanya slogan UMNO atau motto orang Melayu. Atau gagasan hanya menaikkan semangat patriotik orang Melayu dari prespektif perjuangan politik. Saya rasa Ketuanan Malayu telah disalahtafsir malah dipolitikkan. Jadi kalau nak cakap pasal ketuanan Melayu, kita kena cerita peruntukkan perlembagaan, tujuan dan instrumennya.
Ketuanan Melayu sebenarnya suatu peruntukkan perlembagaan Malaysia Artikel 153 Perlembagaan Malaysia yang memberi hak kepada Yang diPertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Malaysia. Artikel ini secara terperinci memberitahu bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia biasa dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial.
Tujuannya adalah melindungi orang Melayu dan Bumiputera lain agar tidak jauh ketinggalan dengan suku kaum lain akibat penjajahan selama 460 tahun demi memastikan kestabilan negara.
Instrumennya – DEB membasmi kemiskinan (Melayu) dan menyusun semula masyarakat, DPN mengekalkan semangat DEB, Misi Nasional, Islam Hadhari (Prinsip ke 7) pembelaan hak kumpulan minoriti dan Wanita dan banyak lagi dasar-dasar kerajaan,
Jadi tafsiran yang mengatakan orang Melayu (Malay supremacy or Malay dominance ) dipercayai sebagai orang Melayu sebagai Tuan di negara ini. Orang Cina, India dan sukum kaum lain sebagi kaum kelas ke 2 adalah SALAH. Ia hanya propaganda pembangkang sahaja. Ketuanan Melayu mesti disebut bersama diperuntukkan perlembagaan.

Thursday, October 30, 2008

Low Siew Moi

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor adalah sebuah instrumen kerajaan negeri yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan pembangunan sosio-ekonomi di Selangor. Ini adalah satu platform wadah perjuangan UMNO sebelum ini. Malangnya atas kertas dengan atas tanah tidak pernah sama. Atas kertas selalu patriotik dan nasionalis tapi atas bumi masing-masing oportunis dan semasa sahaja sifatnya.
Saya adalah anak Selangor dan mendapat faedah dari perancangan PKNS kerana tinggal di Shah Alam kota metropolitan Melayu yang dibangunkan oleh PKNS. Tapi saya tidak fikir PKNS ditubuhkan oleh Allahyarham Dato Harun Idris semata-mata untuk pembangunan hartanah sahaja. Ia lebih dari itu. Melalui penganugerahan dan pembangunan hartanah di Selangor, PKNS diberi amanah memastikan porla pengundi Melayu mempunyai kuasa menentukan kepimpinan Melayu di Selangor. Atau melalui sistem vendor ramai usahawan Melayu bangkit untuk mengimbangkan dan bersaing dengan kontraktor bukan Melayu.
Tapi macam DEB juga. Perlaksanaannya banyak kong kalikong. Atas kertas kita harapkan pemimpin dan pegawai pastikan matlamat DEB tercapai tapi atas bumi mereka (sebahagiannya) gunakan peruntukkan itu untuk kepentingan diri. Itu sebab PKNS kurang berkesan sebagai instrumen yang dinyatakan.
Jadi saya rasa lebih baik letak bukan Melayu sebagai Pengurus Besar dan beritahu dia apa yang kita orang Melayu mahukan. Jika betul Low Siew Moi ni seorang professional dia akan berusaha mencapai sasaran tersebut. Dah penat bagi Melayu mengurus PKNS. Atas kertas cantik, tapi atas bumi hampeh. Kita cuba bagi Cina uruskan dengan KPI yang dinilai setiap tahun. Jika dia gagal atau menyeleweng penjarakan dia.

Monday, October 27, 2008

Tan Sri Muhammad Muhd Taib

Kenapa UMNO dilihat makin hari makin lemah. Orang makin berani mempersoalkan relevannya sekarang, samada bukan ahli maupun ahli parti lain. Tetapi dulu UMNO menghadapi masalah jugak. Samada masalah dalaman atau luaran sama sahaja magnitud dan skalarnya. Jika tidak, takkan UMNO kalah teruk dan PAP parti pimpinan Lee Kuan Yu menguasai di Singapura. Malah apabila UMNO gagal bertapak dan menyaingi PAP, Allahmarhum Tunku telah membuat keputusan politik mengeluarkan Singapura dari Malaysia 2 tahun selepas itu. Selepas itu UMNO terus melalui proses kematangannya tanpa henti. Malah banyak lagi yang akan dihadapi.
Soalnya orang tidak tahu dan tidak pernah nak tahu perjuangan UMNO. Sebab 'packaging' mula dirosakkan. UMNO kebelakangan pulak dijual dengan masalahnya, rasuah, politicking dan perebutan kuasa. UMNO tidak lagi dipromosikan sebagai parti yang berjasa memperjuangan masa depan Melayu dan rakyat Malaysia.
Saya rasa UMNO perlu dilihat parti yang berjuang untuk orang Melayu. UMNO kena merancang dan melaksanakan supaya 'packaging' UMNO lebih menarik dan diterima oleh orang sekarang. Saya rasa UMNO janganlah hanya dilihat bersama dengan batik, songkok, ucapan dan kereta besar sahaja. UMNO patut dilihat sinonim dengan budaya kerja, pencapaian tamadun dan ilmu bangsa Melayu. UMNO mesti dilihat seiring dengan Budaya Melayu Baru ke arah bangsa yang maju, kata Tan Sri Muhammad Muhd Taib , 15 tahun yang lepas.

Sunday, October 26, 2008

Hari Raya Idilfitri 1429H

Hari ini 26 Syahwal. Petang tadi saya sekeluarga menghadiri Hari Terbuka IdilFitri PETROSAINS di Menara Kuala Lumpur. Inilah kali pertama saya beraya 515 meter dari aras laut dengan ketinggian 421 meter. Saya teruja dan bertanya kenapa kita menyambut hari raya sampai sebulan. Catatan yang muktabar, hari raya yang kita raikan disyariatkan Islam secara sempurna sejak tahun ke 2 Hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah Al-Munawarah sebagai alternatif kepada merayakan “nairuuz” dan “mahrajan” dikalangan orang Arab.
Hari Raya Aidilfitri disambut dengan membesarkan Allah S.W.T. dengan cara mengucap takbir dan tahmid dari malam hari raya hinggalah di pagi Syawal esok harinya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. Ada dua cara merayakan Aidilfitri.
Pertama dengan mengingati saudara Islam yang kurang bernasib baik, menderita dan ditimpa malang. Kita wajib memberi lebihan rezeki yang ada dengan berfitrah kepada mereka. Kita patut bersedekah dengan rezeki yang berlebihan selain mengeluarkan zakat fitrah. Amalan ini hendaklah disertai dengan rasa kasih sayang dan kesedaran bahawa manusia ini sama darjatnya di sisi Allah S.W.T. Hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja yang lebih mulia.
Kedua, merayakan hari raya dengan mengingati Allah S.W.T. Banyakkan bertakbir, tahmid dan bertahlil sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri sebagaimana yang disebutkan oleh Allah dalam Al-Quran yang bererti; “Sesungguhnya berbahagialah dan jayalah orang yang membersihkan dirinya dengan mengeluarkan zakat fitrah, dan ia mengingati Allah dengan menyebut nama Allah lalu menunaikan solat.”
Tetapi adakah melakukan sesuatu yang tidak ada pada zaman Rasulullah itu suatu yang bersalahan? Misalnya sekarang kita meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan menganjurkan Rumah Terbuka bagi membolehkan tetamu diraikan pada suatu masa atau sahabat dan saudara datang pada suatu masa yang tertentu. Atau kementerian atau syarikat GLC atau sektor swasta meraikan Hari Raya Aidilfitri di Menara Kuala Lumpur maupun hotel 5 bintang menjamu anak-anak yatim atau merayakan orang awam atau sebagai PR Exercise mereka. Atau sambutan Hari Raya Aidlfitri sebagai premis untuk mengenali antara satu sama lain dengan batasan Agama. Saya rasa selagi orang Islam menggunakan Sambutan Hari Raya atau kementerian untuk tujuan baik apa salahnya. Jangan gunakan premis yang salah atau lebih dari sebulan sudahlah

Friday, October 24, 2008

UMNO

Petang semalam saya bersembang lama dengan seorang bekas pesara Polis DiRaja Malaysia sebagai pegawai atasan Unit Khas di Bukit Aman. Hampir 1½ jam saya bersembang di HyperMarket kat Kelana Jaya.
Isi perbincangan tertumpu bagaimana UMNO boleh terus relevan kepada rakyat Melayu khasnya dan rakyat umumnya. Menurutnya salah satu kepincangan UMNO sekarang adalah UMNO tidak lagi mendengar pandangan akar-umbi. Tak ada lagi ‘bottom-up’ communication, pemimpin peringkat Nasional tak dengar pandangan pemimpin UMNO Negeri, UMNO Negeri tak dengar pandangan UMNO Bahagian dan UMNO Bahagian tak pertimbang pandangan UMNO cawangan dan UMNO Cawangan lansung tak nak dengar pandangan ahli. Inilah yang menyebabkan UMNO makin rapuh dan terus luntur dimamah usia. Jadi jika mahu UMNO bertahan lama, parti keramat ini mesti mewujudkan suatu mekanisme di mana semua pandangan peringkat kepimpinan UMNO sebaik mungkin diambil kira.
Kemudian dia kata pemimpin UMNO hanya jaga orang UMNO sahaja. Makna pemimpin UMNO Bahagian jaga Ketua dan perwakilan UMNO Cawangan je. Rakyat atau pendundi tak penting. Yang hendak dimenangi hati adalah perwakilan UMNO bukan rakyat. UMNO cuba memencilkan kerangka dan liputan mereka. Itu sebabnya calun wakil rakyat keciwa apabila kalah dalam pilihanraya tetapi sangat keciwa dan gelap masa depan bila kalah dalam pertandingan UMN, Malah pemimpin UMNO sibuk minta peruntukkan kewangan sebagai calon pilihanraya tetapi sanggup berhabis dan bergolok gadai untuk memastikan kemenangan dalam pemilihan UMNO . Saya kira pandangan dia ikhlas dan sangat bersetuju.
Kesimpulannya, kalau mahu UMNO terus relevan, ambil masa sikit bila buat keputusan dengan mendengar semua peringkat UMNO dan bukan ahli pun penting untuk memastikan UMNO terus diterima. Yang memenangkan parti UMNO dalam pilihanraya bukan ahli sahaja tetapi rakyat.